“Yang pasti bukan saya calon MB Kedah” – Mahfuz Omar

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah Datuk Mahfuz Omar menepis dakwaan mengatakan beliau disebut-sebut akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti selain menjadi antara senarai bakal Menteri Besar.

Beliau berkata calon Menteri Besar akan dilantik dalam kalangan parti gabungan kerajaan perpaduan sekiranya mereka menang dalam pilihan raya negeri nanti.

Apa yang penting bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, calon nama Menteri Besar itu bukan beliau.

“(Menteri Besar) Itu kita belum tentu, yang pasti bukan saya, itu kena sebut tu, orang duk viralkan saya nak jadi Menteri Besar lah.

“Yang pasti kita akan ada calon MB, kita tidak sebutlah poster boy, yang pasti ada calon MB dan yang pasti bukan saya, calon itu adalah dari parti gabungan perpaduan negeri Kedah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah berkata rundingan mengenai agihan 36 kerusi PRN di Kedah akan dilakukan mulai minggu ini.

Jelasnya perundingan agihan kerusi tersebut bakal dilaksanakan dalam beberapa siri perjumpaan antara pimpinan parti gabungan kerajaan perpaduan.

Namun katanya, setakat ini sudah dipersetujui semua kerusi yang dimenangi oleh PH pada pilihan raya umum lalu kekal ditandingi parti itu manakala BN kekal di kerusi mereka.

“Mana yang dah menang itu kita tidak akan ganggu… mana kerusi Pas menang pula kita akan bincang,” katanya.

Beliau berharap agihan kerusi tersebut dapat ditentukan menjelang Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah yang akan dianjurkan pada 20 Mei depan.

Katanya, konvensyen tersebut dijangka dirasmikan pemimpin tertinggi parti di peringkat nasional dan ia melibatkan seluruh pemimpin parti kerajaan perpaduan negeri.

Jelasnya konvensyen tersebut akan menumpukan fokus kepada persediaan menghadapi PRN selain menguatkan hubungan parti-parti gabungan dan mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Susulan penubuhan Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah beberapa hari lalu, PH dan BN turut menyusun beberapa program merapatkan hubungan antara mereka antaranya pada 17 April ini bakal diadakan program meja bulat, jelasnya.

“Sidang meja bulat ini bersifat suai kenal pemimpin di peringkat Parlimen, ada 15 meja untuk 15 Parlimen di Kedah, setiap meja ada lima wakil parti masing-masing daripada AMANAH, PKR, DAP dan UMNO/BN.

“Ada meja bulat mereka duduk buat ice breaking, nak mencairkan apa yang beku begitu lama antara satu sama lain dan kemudian berbuka puasa bersama,” ujarnya.

Sebelum itu, katanya pada sebelah pagi, mereka akan bersama-sama mengadakan rakaman takbir hari raya yang akan disiarkan di semua platform media sosial parti pada 1 Syawal nanti.

BACA JUGA: PH, BN Kedah bentuk majlis pimpinan perpaduan, persediaan hadapi PRN