1500 anak yatim miskin NS terima sumbangan YaPEIM

Menjelang Syawal tidak lama lagi, seramai 1,500 anak yatim dan miskin seluruh Negeri Sembilan menerima sumbangan perayaan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Seramai 600 anak-anak telah diberikan sumbangan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Orang Ramai, Sikamat.

“Selebihnya (penerima sumbangan) akan diberikan melalui sekolah masing-masing. Terdapat 141 orang turut menerima kad sim percuma daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi hantaran di laman sosial, Facebook

“Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Negeri Sembilan (PEDNS) yang prihatin dalam menyediakan pengalaman digital yang lebih baik kepada pengguna, terutamanya kepada pelajar.

“Semoga sumbangan itu dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam melakukan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” kata beliau seperti dipetik Negeri Kita.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata demikian dalam Program Inspirasi Qaseh Ramadhan dan Raya YaPEIM, kelmarin.

Pada 8 April lalu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri mengumumkan seramai 4,524 golongan asnaf akan menerima bantuan bagi sambutan perayaan Aidilfitri dalam masa terdekat.

Beliau berkata, setiap golongan fakir yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bakal menerima bantuan tunai RM1,000 manakala golongan miskin sebanyak RM800.

“Sumbangan itu adalah hasil dividen Projek Khas Pembangunan Tanah Menteri Besar Pemerbadanan atau MBI dengan Felcra Berhad yang diterima sejak tahun 2003.

“Jumlah keseluruhan sumbangan MBI Negeri Sembilan yang akan diagihkan adalah sebanyak RM1.35 juta.”

 

Â