Fenomena cuaca panas tidak berpanjangan – MetMalaysia

Fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda di kebanyakan tempat di Semenanjung tidak berpanjangan kerana hujan dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.

“Memang dalam tempoh beberapa hari ini cuaca lebih panas daripada yang biasa tetapi keadaan ini tidak akan berlarutan terlalu lama kerana hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari lagi.

“Setakat kelmarin, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celcius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang,” katanya lapor Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu MetMalaysia mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol dengan suhu maksimum harian mencecah 35-37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengingatkan orang ramai bahawa pendedahan kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal boleh menyebabkan kelesuan haba dan strok haba.

“Orang awam dinasihatkan untuk mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

“Ikuti panduan kesihatan bagi mengekalkan kesihatan sepanjang musim kejadian gelombang haba sebagai peringatan,” ujarnya menerusi ciapan di Twitter kementerian.