Hari Al-Quds Sedunia: 1,000 berarak ke Kedutaan AS, bantah kekejaman Israel

Hampir 1,000 aktivis kemanusiaan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur selepas solat Jumaat dalam Himpunan Solidariti Hari al-Quds Sedunia 2023 bagi menentang kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Mereka dilihat membawa bendera Malaysia dan Palestin sambil memegang sepanduk antaranya bertulis ‘Israel Bakal Hancur’ disulami laungan takbir.

Bagaimanapun, difahamkan perarakan itu tidak dibenarkan berkumpul di hadapan kedutaan berikutan faktor keselamatan dan hanya dibenarkan sehingga di bawah jejantas bertentangan dengan bangunan Lembaga Tabung Haji.

Sempena perhimpunan yang dilakukan pada Jumaat terakhir Ramadan setiap tahun itu, aktivis menghantar memorandum kepada Kedutaan AS bagi menyatakan bantahan atas kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sejak lebih satu dekad lalu.

Perhimpunan itu merupakan anjuran Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) dengan gabungan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA).

Terdahulu Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid terpaksa berjalan kaki dengan bertongkat kira-kira 200 meter dari lokasi himpunan ke pejabat kedutaan sebelum dibenarkan bertemu Setiausaha Bahagian Politik, Neil Thenier.

Menurut Mohd Azmi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, memorandum itu ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden melalui Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.

Hadir sama Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa, Datuk Seri Ahmad Awang; Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Datuk Abdul Ghani Samsudin dan Naib Ketua Pemuda AMANAH, Abbas Azmi.

Azmi berkata pihaknya membantah sekeras-kerasnya sokongan kuat Amerika kepada Israel kerana rejim itu secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan hak kemanusiaan.

“Amerika Syarikat jelas menyokong rejim pengganas kerana mempunyai dasar luar mengenai pendudukan Israel dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang jelas membuktikan kemunafikan mereka (AS).

“Hari ini adalah harinya di mana kami menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa kita berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dan keadilan bagi membolehkan hak kemanusiaan di Palestin, dikembalikan sekali gus keamanan dapat dicapai.

“Amerika dan kuasa barat menunjukkan tahap kepura-puraan dan pilih kasih yang tertinggi apabila membabitkan konflik Russia – Ukraine berbanding kebiadaban Israel terhadap penduduk Gaza,” katanya dalam memorandum itu.

Antara NGO yang membantah adalah Aliansi Masjid-Masjid Dunia dalam Pertahanan Al Aqsa; Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia; Parti Amanah Negara (AMANAH); Citizen International; SEJAGAT, BDS Malaysia; Pusat Kajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya dan Yayasan Al-Quds Malaysia dan Yayasan Isra’ Malaysia.

Turut sama Angkatan Belia Islam Malaysia Belia Islam(ABIM), Misi Keamanan Global (GPM) Malaysia), Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM); MyAqsa Defenders (MyAD), Jaringan Persaudaraan Masjid Serantau, Teras Pengupayaan Melayu; Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia; Pusat Tasawwur Islam Antarabangsa; Persatuan Advokasi dan Penyelidikan Minoriti Islam.