Kerajaan bersikap adil walau kepada negeri pembangkang – PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa bersikap adil terhadap semua pihak termasuk negeri yang diperintah pembangkang, sekaligus menolak dakwaan beliau berlaku kejam terhadap pembangkang.
Sebagai contoh katanya, kerajaan telah segera meluluskan permohonan Kelantan mengenai projek tebatan banjir di Sungai Golok, memandangkan ia sangat mendesak.
“Semalam, ketika menteri besar Kelantan bertemu saya dan mohon lebih banyak projek tebatan banjir (di Kelantan). Saya kata ya. Ia melibatkan sejumlah besar wang dan akan dilaksanakan di Sungai Golok. Isu banjir di Kelantan mendesak.
“Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh, jadi walaupun kita boleh bantu sedikit di sini (Pulau Pinang) kita kena beri keutamaan (di Kelantan) walaupun kerajaan negeri itu berbeza parti, ini kenyataan.
“Sebab itu saya nak bezakan fakta dan rekaan, rekayasa, di dalam politik kita kena beringat,” katanya seperti dilapor FMT hari ini pada pelancaran projek Masjid Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.
Tambah Anwar, walaupun parti politik akan “berlawan” pada pilihan raya, kerajaan negeri dan kerajaan pusat mesti sentiasa bekerjasama.
Anwar juga berkata, kerajaan diterajuinya meraikan perbezaan untuk kesatuan ummah, namun memberi penegasan beliau tidak akan bertoleransi dengan amalan rasuah, terutama mereka yang cuba mengambil “upah” daripada projek kerajaan.
Terdahulu beliau mengumumkan Putrajaya akan menyalurkan hampir RM5.4 juta bagi pembinaan Masjid Mengkuang Titi, yang melibatkan kos RM9 juta.
Kerajaan Pulau Pinang menyumbang RM1.1 juta, manakala derma daripada penduduk setempat akan menanggung baki kos.