Lantikan SPR: Datuk Dr Lee Bee Phang bekas Pesuruhjaya Polis

Datuk Dr Lee Bee Phang yang dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu ialah wanita pertama berketurunan Cina dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2021.

CP adalah pangkat ketiga paling tertinggi dalam PDRM selepas Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara.

Berbekalkan PhD dalam bidang jenayah juvana yang diperolehnya pada 2010 dari Universiti Malaya, Lee telah dinaikkan ke jawatan Timbalan Pesuruhjaya pada Mei 2015 sebelum dinaikkan ke pangkat CP pada 12 Mac 2021.

Beliau turut menjadi anggota lembaga pengarah Genting Malaysia Bhd untuk tempoh singkat sebelum meletakkan jawatan untuk menggalas tugas di SPR.

Pelantikannya ke SPR menyebabkan beliau menerima kecaman dan dipersoal oleh warga maya.

Lee, 61, melepaskan jawatannya itu pada Khamis (6 April) selepas menerima surat bertarikh 29 Mac daripada Ketua Setiausaha Negara untuk menjadi ahli SPR “seperti yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.

“Surat itu, antara lain, menyatakan bahawa dia tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana jawatan atau kerja bergaji di luar jawatannya sebagai ahli SPR,” menurut pemakluman Genting Malaysia pada 6 April lalu

“Berikutan perkara di atas, beliau telah mengemukakan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta,” tulis surat itu lagi.

Lee hanya dilantik menganggotai lembaga pengarah Genting Malaysia sebagai pengarah bebas bukan eksekutif pada 1 Julai 2022 selepas kerjaya cemerlang selama 34 tahun bersama PDRM dalam pelbagai kapasiti dan jabatan.