Lapan individu waris Sultan Sulu memeras Malaysia

Lapan individu misteri yang mendakwa diri mereka sebagai waris kepada Sultan Sulu yang meninggal dunia pada tahun 1936 cuba memperkayakan diri dengan “memeras” USD14.9 bilion dari Malaysia.

Perkara ini didedahkan dalam laman web https://www.malaysia-sulucase.gov.my/ yang dilancarkan kelmarin.

Kesemua lapan individu tersebut telah dikenalpasti sebagai Nurhima Kiram Fornan, Fuad A. Kiram, Sheramar T. Kiram, Permaisuli Kiram-Guerzon, Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui, Ahmad Nazard Kiram Sampang, Jenny K.A. Sampang dan Widz-Raunda Kiram Sampang.

Mereka berumur dalam lingkungan 50an hingga 70an dan adalah warganegara Filipina.

Mereka juga mendakwa diri mereka adalah waris kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram II. Kesultanan Sulu tidak wujud sekarang dan sultan tersebut meninggal dunia tanpa waris.

Putrajaya turut mendedahkan bahawa Fuad A. Kiram, 69, dituduh terlibat dalam pembiayaan aktiviti pengganasan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, Fuad menyertai dan membiayai aktiviti pengganasan kerana keterlibatannya dengan Pasukan Beraja Sulu.

Oleh itu selaras dengan seksyen 66B, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), kerajaan dan syarikat Malaysia tidak boleh memberi sebarang sumbangan harta dan kewangan.

Dalam bulan Februari mereka memperoleh arahan penimbangtaraan yang mengarahkan Malaysia membayar USD 14.92 bilion sebagai ganti rugi terhadap sumber asli di Sabah.

Kerajaan telah berhujah bahawa proses arbitrasi ini tidak sah dan pemberian sejumlah wang tersebut tidak sah.

Kerajaan turut mendedahkan bahawa kesemua lapan individu tersebut mendapat dana untuk kes ini menerusi sebuah syarikat bernama Therium.

Syarikat tersebut bertanggungjawab membayar upah peguam kesemua lapan individu.

Menteri Undang-Undang dan Institusi Reformasi Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan tuntutan Sulu ini adalah tidak sah dan “satu ancaman kepada negara berdaulat dengan menyalahgunakan proses penimbangtaraan perdagangan antarabangsa.”

BACA JUGA: Malaysia sedia maklumat lengkap, tepat kes tuntutan waris Sultan Sulu