Malaysia digesa tingkat bantuan kepada Palestin

Kerajaan Persekutuan digesa meningkatkan bantuan sekurang-kurangnya RM44 juta setahun kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Aktivis politik, Abd Malek Hussin berkata bantuan seperti itu dilihat berupaya meringankan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin selama ini.

Setakat ini Abd Malek mendakwa sumbangan yang diberikan kerajaan Malaysia dalam sekitar AS$1 juta sahaja setahun.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian serius dengan menghulurkan bantuan tidak kurang AS$10 juta setahun (kira-kira RM44 juta).

“Ia adalah bagi meringankan bebanan penderitaan rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis Israel.

“Saya hadir di sini hari ini (Hari Al-Quds) yang disambut bagi memperingati perjuangan pembebasan Masjid Al Aqsa dan rakyat Palestin daripada pencerobohan rejim Zionis Israel,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Al-Quds Sedunia 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu hampir 1,000 aktivis kemanusiaan berarak ke arah bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sempena perhimpunan itu bagi menunjukkan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.

Sementara itu, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa, Datuk Seri Ahmad Awang pula menyifatkan protes pada tahun ini agak berbeza kerana ia bukan sekadar bantahan biasa.

“Bukan setakat kita membantah kekejaman (rejim Zionis) yang merampas tanah rakyat Palestin dan sebagainya, tetapi ini juga soal Masjid Al-Aqsa.

“Mula-mula saya ingat, Ramadan kali ini aman, tak macam tahun lepas (konflik). Rupanya hari kedua puasa, dia dah mula dengan tolak jemaah keluar daripada masjid.

“Yang mana melawan, ditangkap, digari dan dipukul. Jadi saya menyeru terutama sekali umat Islam yang datang ke masjid , pegawai-pegawai agama termasuk juga mufti tolong sama-sama cakna isu ini.

“Hari ini Hari Al Quds. Sepatutnya semua masjid memberi khutbah mengenai isu yang berlaku di Palestin, tapi saya solat Jumaat di sebuah masjid tadi, tidak ada menyebut tentang Palestin.

“Sekurang-kurangnya dalam doa kita titipkan agar Allah beri kekuatan kepada mereka (rakyat Palestin),” katanya kepada Harapan Daily.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Datuk Abdul Ghani Samsudin yang ditemui mengatakan bahawa perarakan dijalankan hari ini adalah satu langkah yang baik dalam usaha menyatukan umat Islam.

“Alhamdulilah bagus. Walaupun kita tak dapat jumpa Duta Amerika ke Malaysia (Brian Mcfeeters), tetapi wakilnya ada untuk menerima memorandum tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, aktivis politik Tian Chua menganggap kezaliman dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin adalah sesuatu yang tidak boleh diteruskan.

“Ini adalah tentang kemanusiaan. Ini adalah pendirian yang kita manusia sejagat harus bersatu menyelamatkan bangsa Palestin untuk menentang kezaliman yang berlaku tahun demi tahun, hari demi hari.

“Kezaliman yang dilakukan rejim itu juga tidak boleh diterima oleh mana-mana agama dan bangsa,” tegas beliau.

Seorang lagi aktivis politik dan pengamat politik antarabangsa Hishamudin Rais pula mengingatkan semua pihak tentang sebarang percubaan daripada pihak tertentu untuk melakukan proses normalisasi dengan Israel.

Beliau menegaskan, sebarang usaha melaksanakan normalisasi dengan rejim Israel harus ditentang dan mahu rakyat Malaysia meneruskan perjuangan membela rakyat Palestin.

Â