PH tumpu rampas Kedah, kekalkan tiga negeri
Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada Kedah dalam usaha merampas negeri itu yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Selain itu, PH akan mempertahankan penguasaan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN kali ini, kata Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Untuk negeri Kedah, kita (PH) masuk untuk mencabar PN sehingga membentuk kerajaan, manakala di Kelantan dan Terengganu kita masuk untuk menghantar suara pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi dengan objektif yang begitu jelas, PH akan susun strategi berdasarkan kepada garis masa yang masih lagi berbaki tiga atau empat bulan sahaja lagi,” katanya menerusi siaran Youtube Parti Keadilan Rakyat.
Mengulas mengenai apakah kecenderungan pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi pada PRN berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata hal itu perlu ditangani dengan kelebihan PH kini menguasai Kerajaan Persekutuan.
Katanya, faktor PRN Melaka atau Johor yang mana pengundi kurang menyokong PH tidak perlu dibebankan kepada PRN akan datang.
“Jadi Melaka atau Johor, kecenderungan keluar mengundi atau tidak, itu satu penilaian yang berterusan dan yang paling penting adalah mempertahankan tiga negeri.
“Bagaimana kita boleh gunakan kedudukan sebagai kerajaan di peringkat pusat supaya impaknya dapat dirasai di tiga negeri ini untuk memudahkan atau mencerahkan kita untuk mempertahankannya.
“Sama juga bagaimana nak ambil kelebihan kuasa politik sebagai kerajaan di peringkat pusat untuk dapat sekurang-kurangnya 19 daripada 36 kerusi DUN Kedah itu dapat kita menangi (negeri),” katanya lagi.
PRN Melaka diadakan dalam bulan November 2021 manakala PRN Johor berlangsung dalam bulan Mac 2022. BN menang majoriti dua pertiga di dalam kedua-dua PRN ini.
Selain Kedah, lima negeri lain iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan tidak membubarkan DUN serentak dengan PRU15, November tahun lalu.
Berikutan itu, keenam- enam negeri berkenaan dijangka akan membubarkan DUN masing-masing Jun ini bagi membolehkan PRN diadakan antara Julai hingga Ogos.
BACA JUGA: “Yang pasti bukan saya calon MB Kedah” – Mahfuz Omar