Projek rintis kurang kesesakan HTAR berkesan, pesakit turun 54 peratus

Pelaksanaan projek rintis bagi mengurangkan kesesakan dimulakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menunjukkan kesan positif apabila kadar kedatangan pesakit menurun sebanyak 54 peratus setakat 9 April lalu.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata langkah itu dilaksanakan dengan memindahkan operasi zon hijau Jabatan Kecemasan HTAR ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang di luar waktu operasi bermula 25 Mac lalu.

DR ZALIHA MUSTAFA

Kata beliau, melalui pemindahan pesakit itu, KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam setiap hari.

“Penurunan ini berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan.

“Untuk itu, KKM memutuskan memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke klinik-klinik kesihatan lain dengan lima klinik kesihatan dipilih melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bahru dan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata status terkini pelaksanaan projek rintis dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), kementerian dan agensi kerajaan berkaitan itu bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam.

Di samping pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, beliau menjelaskan tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.

Antaranya ialah pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani dengan semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan, ujar Zaliha.

Projek Rintis Kluster KK Bandar Botanik, Klang dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR membolehkan penstrukturan semula operasi dalam jabatan itu. Ini termasuklah membuka ruang rawatan Yellow Urgent di mana pengendalian kes-kes rujukan dari 12 Klinik Kesihatan di Klang termasuk KK Bandar Botanik dapat diberi tumpuan terus tanpa menunggu bersama-sama dengan pesakit kecemasan walk-in yang lain.

Selain itu, katanya pelaksanaan pengurusan LEAN (konsep penambahbaikan), perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual dan strategi komunikasi melalui ‘behavioral insight’ (wawasan tingkah laku) sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi berkenaan.

“KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

“Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di jabatan kecemasan hospital kerajaan,” jelasnya.

BACA JUGA: Wad jangka pendek atasi kesesakan jabatan kecemasan