Selangor utamakan anak istimewa, tingkat peruntukan kepada RM5 juta – MB

Sebagai sebuah negeri maju, kerajaan negeri Selangor sentiasa mengutamakan pendidikan kanak-kanak istimewa termasuk meningkatkan keupayaan mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata komitmen ini diterjemahkan menerusi peruntukan yang ditambah kepada RM5 juta berbanding hanya RM3 juta sebelum ini.

“Bukan itu sahaja, kewujudan Jabatan ANIS (Anak Istimewa Selangor) di Selangor menjadikannya satu-satu negeri yang mempunyai jabatan khas untuk menjaga kebajikan golongan ini.

“Pelbagai program dirangka dari memberi bantuan, melatih pendidik sehinggalah memberi kemahiran bekerja,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin pada masa ini dalam rangka menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah bermula semalam.

ANIS ditubuhkan sejak 2018 dalam membantu kebajikan selain menambah baik dan memajukan pendidikan anak istimewa di Selangor bagi memastikan nasib mereka terus terbela.

Tahun lalu, kerajaan negeri membangunkan pusat prasekolah di Seksyen 7, Shah Alam dengan menyasar 80 pelajar anak istimewa berusia lima hingga enam tahun mendapat kemudahan pendidikan khas.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut berhubung program ANIS boleh layari laman sesawang www.anisselangor.com/tanyaanis.

BACA JUGA: Harga barang: Selangor cari mekanisme baharu lepas Jelajah Ehsan tamat Mei