‘Akurlah, kalau tiada tauliah tak payah mengajar’ – Hasanuddin

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik sebagai pemimpin dan ulama supaya tidak terlihat sebagai orang yang menolak undang-undang ditetapkan pihak majlis agama Islam negeri.

Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang juga pemegang tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan berkata, Abdul Hadi perlu hormati jika peraturan negeri menetapkan agar ahli politik tidak boleh berceramah di masjid dan surau-surau.

Beliau sendiri katanya, akur sewaktu tauliah mengajar agama di Selangor ditamatkan, sekaligus menyarankan Abdul Hadi mengikut langkah sama.

“Banyak masjid jemput saya untuk buat tazkirah tapi saya jawab, untuk urusan tauliah ini, kita kena sokong keputusan kerajaan, keputusan Sultan dan juga Majlis Agama Islam negeri untuk tidak memberikan tauliah sebarangan sebab kita tahu sekarang ini asatizah, ustaz-ustaz, penceramah-pendakwah semakin melampau .

“Mereka berada di Masjid dan surau, malah berkempen untuk parti dengan menjerit-jerit maki hamun. Saya percaya untuk membetulkan keadaan ini biarlah kita menyokong agar semua ahli politik tak dapat tauliah sehinggalah apabila mereka faham dan boleh menghormati Masjid-masjid.

“Jadi kepada para ulamak dan para pendakwah, kena tunjukkan contoh taat kepada majlis agama Islam yang dipimpin oleh majlis Raja-Raja Melayu khususnya di negeri Terengganu iaitu Sultan Terengganu,” katanya dihubungi Harapan Daily hari ini.

Hasanuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, jika Abdul Hadi masih lagi mahu berceramah tetapi tidak mahu memohon tauliah, adalah lebih baik dia tidak menggunakan masjid untuk programnya selepas ini

“Kena hormat benda itu, tunjukkan contoh anda. Kalau nak berceramah politik, gunakan permit-permit yang lain, bukan di masjid di bawah kelolaan sesuatu majlis agama Islam.

“Walaupun masjid itu itu datuk nenek moyang kita yang bina, tetapi pendaftaran masjid dan surau adalah tetap di bawah majlis agama Islam,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan surat pekeliling yang melarang semua kepimpinan dan aktivis politik dari menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah, atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu, kecuali pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran MAIDAM.

Namun begitu, Abdul Hadi pada 4 Mac berkata, dia akan tetap meneruskan aktiviti berceramah dan khutbahnya seperti biasa di masjid dan surau-surau.

Sehingga 17 Mac, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih meneruskan aktiviti ceramahnya di Masjid Rusila, Marang. Namun, tiada apa-apa tindakan yang diambil MAIDAM.

Semalam, Harapan Daily cuba mendapatkan perkembangan terkini dari MAIDAM berkenaan surat pekeliling yang dikeluarkan mereka sama ada masih berkuatkuasa atau sudah ditarik balik. Namun, masih belum berjaya dapatkan respon.

Sementara itu, ketika menghubungi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin berkenaan perkembangan laporan polis yang dibuatnya terhadap Abdul Hadi pada 8 Mac, beliau berkata sehingga kini beliau tidak dimaklumkan tentang apa-apa perkembangan baharu termasuk siasatan terhadap Abdul Hadi.

BACA JUGA PH Terengganu harap polis siasat Abdul Hadi