Anak bulan Syawal dijangka dapat dilihat 20 April ini
Anak bulan bagi menentukan tarikh 1 Syawal dijangka dapat dilihat pada 20 April, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Menurutnya, hal tersebut boleh berlaku dengan bantuan alat cerapan, kemahiran pencerap dan cuaca yang baik.
Jika anak bulan dapat dilihat pada hari itu, katanya, ia akan menjadi rekod baharu penampakan anak bulan di negara ini.
“Rekod penampakan hilal (bulan baharu) terbaik pernah direkodkan di Pusat Falak Sheikh Tahir setakat ini adalah hilal Rabiulawal 1444 Hijrah pada ketinggian lima darjah 44 minit dan jarak lengkung enam darjah enam minit.
“Namun sekiranya ketika cerapan pada petang Khamis ini hilal boleh kelihatan pada ketinggian dua darjah 12 minit dan jarak lengkung dua darjah 39 minit sahaja, satu rekod baharu akan dicatat,” lapor BH.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Wan Salim berkata, anak bulan mungkin sukar kelihatan ketika cerapan namun tidak mustahil berikutan bulan baharu sudah berada di atas ufuk.
“Dengan fenomena Gerhana Matahari Separa pada tengah hari cerapan itu yang disusuli dengan penghubung, fasa bulan baharu pun bermula sejurus kemudian.
“Namun, data bulan sewaktu cerapan menunjukkan bulan belum memenuhi kedua-dua syarat kebolehnampakan yang ditetapkan walaupun fasa bulan baharu sudah bermula,” katanya.
Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang pada 11 April lalu dilapor berkata, kemungkinan untuk dapat melihat anak bulan pada 20 April ini sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan.
“Walau apa pun keputusannya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan,” ujarnya.
Pengisytiharan tarikh 1 Syawal setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja.
Penentuan sambutan Aidilfitri itu dibuat sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi.
BACA JUGA Data analisis anak bulan Syawal berada pada posisi sukar dilihat – JUPEM