Faisal Tehrani kritik Pas potong riben rasmi mesin ATM
Sasterawan terkemuka, Faisal Tehrani antara individu yang turut mengkritik pemimpin Pas Terengganu yang baru-baru ini merasmikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Besut.
Faisal menerusi komen ringkasnya, menegur Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang mempertahankan tindakan wakil rakyat parti itu merasmikan mesin ATM di kawasan yang dikatakan ‘terceruk’ itu.
Pengarang novel Surat-surat Perempuan Johor itu menegur agar Syahir tidak mengalihkan isu sebenar kerana tiada siapa yang mempertikai tentang penduduk pedalaman yang mahukan mesin ATM.
Tegasnya, apa yang dipersoal oleh orang ramai adalah berkenaan kewajaran upacara memotong riben dan merenjis bagi merasmikan mesin tersebut.
“Isunya bukan mesin ATM. Inilah Pas suka main hujah falasi. Isunya potong riben, renjis; itu mentaliti feudal seperti yang dinyatakan oleh Prof Syed Hussein Alatas.
“Jangan kalih barang. Tak ada siapa pertikai pedalaman, orang desa dan sebagainya,” ciapnya di Twitter.
Rakaman acara perasmian di sebuah stesen minyak di Pantai Timur oleh Ahli Parlimen Besut itu menjadi perbincangan hangat di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Mana tidaknya, acara yang diadakan dengan penuh gah itu hanya melibatkan perasmian satu mesin ATM berserta majlis memotong riben.
Sementara itu, Syahir tampil mempertahankan tindakan tersebut kerana katanya, kemudahan mesin ATM sesuai dengan permintaan penduduk yang memerlukannya, malah ia antara permintaan rakyat diterima parti itu ketika kempen PRU15.
Syahir berkata, bagi penduduk di kawasan bandar, akses kepada mesin ATM dan cawangan bank berdekatan dianggap perkara “kecil” yang tidak perlu dicari, apatah lagi diminta untuk disediakan.
Namun, bagi penduduk di daerah terceruk, perkara ini sebaliknya, kata beliau.
Sementara itu, personaliti TV3 Ahmad Fedtri Yahya turut meninggalkan komen serupa mengatakan di tahun 2023, keperluan asas seperti penambahan mesin ATM sebenarnya tidak perlu diraikan dalam majlis.
“2023. Suatu keperluan asas yang tak perlu ‘diraikan’ dalam majlis. Kalau Pantai Timur, masjid besar juga boleh jadi sentral untuk pelbagai keperluan penduduk.
“Zuhud bukan bererti ‘serba kekurangan’ tetapi sesuai dengan kadar keperluan,” tegas pengacara program Jejak Rasul itu.
BACA JUGA: TikTokers Pas, bekas pemimpin Gamis pegang jawatan dalam Yadim