Fenomena cuaca panas: Ketahui bagaimana gelombang haba terjadi untuk elak strok haba
Fenomena cuaca panas melampau dengan suhu maksimum yang mencecah 37 darjah celcius di Semenanjung Malaysia, agak menggusarkan terutama bagi mereka yang perlu melakukan aktiviti di luar pada waktu puncak iaitu dari tengah hari hingga ke petang.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia) menyediakan satu poster yang menerangkan bagaimana proses pembentukan gelombang haba boleh berlaku supaya orang ramai dapat mengelak daripada terkena strok haba.
1. Gelombang haba terbentuk apabila tekanan tinggi di udara (setinggi hingga 7,600 meter) bertambah kuat dan kekal di satu kawasan hingga beberapa minggu
2. Kawasan yang bertekanan tinggi terletak di lapisan atas atmosfera
3. Tekanan tinggi lapisan atas atmosfera bergerak secara perlahan-lahan
4. Tekanan yang tinggi ini menyebabkan udara tenggelam ke permukaan, memanas, dan mengeringkan persekitaran secara adiabatik.
5. Udara panas yang tenggelam ini mewujudkan satu songsangan tahap tinggi yang bertindak seakan-akan kubah menutup atmosfera, menghalang perolakan haba dan seterusnya memerangkap udara panas berkelembapan tinggi di bawahnya
6. Perolakan ini biasanya hadir bersama pinggir puncak apabila tekanan menjadi kurang.
7. Bagaimanapun, perolakan sisi ini menguatkan kubah tekanan tinggi dengan mengalihkan udara ke luar
8. Haba terkumpul secara berterusan pada permukaan seterusnya mewujudkan gelombang haba yang dirasai di permukaan bumi
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan bahawa fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda di kebanyakan tempat di Semenanjung tidak akan berpanjangan kerana hujan dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda adalah disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Baca juga: Fenomena cuaca panas tidak berpanjangan – MetMalaysia
Â