Kerajaan lulus dana RM200 juta bangunkan tanah wakaf Pulau Pinang – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sejumlah RM200 juta sebagai dana pinjaman mudah dengan peringkat permulaan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang kali pertama tahun ini yang antara lain membabitkan tindakan memperkasa sosioekonomi dan modal insan Bumiputera MADANI di Pulau Pinang.

“Bagi memastikan hasrat meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera di Pulau Pinang dapat dicapai serta memacu pembangunan tanah wakaf, kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta secara dana pinjaman mudah.

“Sebagai permulaan, dana ini akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar tahfiz mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).

“Besar harapan agar program ini berupaya melahirkan anak muda yang holistik serta lengkap dengan ilmu pengetahuan agama dan kemahiran teknikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau juga bersetuju melantik Tan Sri Khalid Ramli sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang baharu.

Pelantikan ini dibuat selaras dengan kepakaran dan pengalaman beliau yang telah berkhidmat selama lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam, ujarnya.

“Semoga dengan peruntukan tambahan yang disediakan, Kerajaan Perpaduan dapat meningkatkan sosioekonomi serta taraf hidup Bumiputera di seluruh negeri Pulau Pinang. Insya Allah,” katanya.

BACA JUGA: RM35 juta peruntukan tambahan perkasa PPR – PM Anwar

Â