Saifuddin nafi danai laskar siber yang ditahan polis

Bekas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menafikan memberikan sokongan kewangan kepada seorang laskar siber yang bernama Roslizal Razali yang kini ditahan polis.

Dalam kenyataan menerusi Twitter beliau, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga menafikan beliau ada kaitan dengan seorang lelaki yang bernama Dato’ Arshad.

“Saya dimaklumkan terdapat beberapa posting di media sosial yang mengaitkan saya dengan individu bernama Roslizal Razali yang kini ditahan oleh pihak polis untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya memberi sokongan kewangan kepada individu-individu yang bernama Roslizal Razali atau Dato Arshad tersebut.

“Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilaporkan telah dilakukan oleh mereka berdua,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau juga dinasihati oleh peguam untuk membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas individu-individu yang menyebar fitnah dan fakta tidak sahih berkenaan isu ini di mana ia bertujuan menjejaskan reputasi beliau.

Roslizal yang menggunakan nama Riza Razali di Twitter ditahan kelmarin selepas hampir seminggu dicari oleh polis berikutan kicauan yang berkaitan dengan perkauman dan agama di Twitter.

Beliau ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

Dalam laporan yang disebarkan oleh media sosial, Roslizal didakwa memaklumkan kepada polis, beliau didanai oleh seorang yang ada kaitan dengan Saifuddin.

BACA JUGA Polis cari Roslizal Razali bantu siasatan

JUGA Kes hasutan: Selepas enam hari Bukit Aman cari, Roslizal Razali akhirnya ditahan