Jabatan, agensi KPKM pantau cuaca panas jejas sektor pertanian
Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang memantau cuaca panas sekarang yang akan menjejaskan sektor pertanian negara.
“Kita pantau keadaan itu dari semasa ke semasa. Ini memang kita pantau dalam bentuk harian. Pegawai kita antaranya di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) setiap masa pantau supaya stok ada dan mencukupi,” Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata.
Mohamad berkata kementeriannya juga turut merangka pelan kecemasan sekiranya berlaku situasi kekurangan bekalan makanan berikutan situasi cuaca panas ketika ini.
“Kita sedia juga (ada pelan) kecemasan kalau perlu import (barangan pertanian) jika berlaku sebegitu rupa. Kita sudah ada tempat (dari mana nak diimport) kalau perlu buat dalam keadaan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jualan Agro Madani.
Ia merupakan projek rintis berkonsepkan jualan pada harga berpatutan berfokuskan kepada pengguna yang memerlukan dan platform dalam menyediakan ketersediaan serta akses kepada pengguna dalam mendapatkan barangan keperluan seterusnya memberi ruang pasaran kepada usahawan.
Projek ini dijalankan di Kampung Johan Setia, Klang dan sembilan lokasi lain di Kuala Lumpur dan Selangor.
Barang jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10% hingga 30% lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.
“Antara fokus lokasi melalui Jualan Agro Madani adalah di outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar,” kata beliau.
BACA JUGA: KPKM pastikan bekalan ayam, telur mencukupi