Kuota minyak sawit masak bersubsidi diturunkan kepada 40,000 tan?
Kuota minyak sawit masak bersubsidi mungkin diturunkan kepada 40,000 tan sebulan berbanding 60,000 tan sebelum ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Mohd Yusof.
Jelasnya, langkah itu diambil susulan syarikat pembungkus tidak dapat memenuhi permintaan kuota disebabkan pelbagai faktor sekaligus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.
“KPDN menurunkan kuota ini daripada 80,000 tan kepada 60,000 tan selepas kita mengambil alih daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 2016. Pada dasarnya, kuota 60,000 tan itu sudah mencukupi bagi kegunaan isi rumah.
“Namun, ada ura-ura mengatakan 60,000 tan ini juga terlalu banyak. Maka, kami perlu melakukan rasionalisasi dan tidak menolak kemungkinan kuota ini akan dikurangkan kepada 40,000 tan.
“Perniagaan berbentuk subsidi ini adalah sukatan sementara. Kita juga diarah untuk mengkaji aspek subsidi bersasar, berkemungkinan modalnya tidak lagi sama dengan apa ada pada hari ini,” katanya menurut Berita Harian.
Pada masa sama, Azman menafikan dakwaan sebuah portal, menyebut KPDN berbelanja melebihi had sebanyak RM9 juta untuk subsidi minyak masak, tahun lalu, memandangkan kementerian itu memberi kelulusan kuota tambahan, namun operasi itu tidak berlaku.
“Apa sahaja keputusan atau dasar terpakai, kita pastikan kita tidak melebihi daripada dasar yang ditetapkan itu. Jadi, tidak ada isu kita membayar lebih seperti didakwa.
“Kebanyakan pengurusan yang kita beri (kuota) dahulu pun, ramai tidak mampu buat dalam tempoh tiga bulan.
“Kelulusan kuota sudah diberi, tetapi pelaksanaannya tidak berlaku. Bila tidak berlaku, bermaksud kuota luluskan itu tidak berada di pasaran dan di sinilah antara punca kekurangan minyak masak bersubsidi di pasaran, selain daripada aktiviti penyelewengan dan sebagainya.
“Jadi, sebenarnya kita hanya ‘rampas’ balik kuota yang diberikan itu,” katanya.