Percakaran Umno – DAP merugikan semua

Percakaran di antara Umno-BN dan DAP-PH tidak akan menguntungkan kedua-kedua pihak, terutamanya bilamana PH dan BN memasuki arena pilihan raya negeri sebagai satu pasukan.

Ianya wajar dihentikan kerana ia akan menjejaskan hubungan yang telah pun dibina sejak kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan.

Penulis ingin membicarakan perihal pertentangan di antara Umno dan DAP yang muncul di media mutakhir.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nur Jazlan Mohamed dipetik Utusan Malaysia semalam berkata pakatan dengan DAP akan menjadi cabaran kepada Umno untuk memenangi semula keyakinan orang Melayu, terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Nur Jazlan menegaskan Umno sememangnya ikhlas dalam menjayakan “kerajaan perpaduan”.

Disebabkan itu, Nur Jazlan berkata parti keramat Melayu itu tidak menyuarakan pendapat mereka mengenai perkara terbabit.

“Tetapi, bila kita diam, DAP pula yang keluarkan ke­nyataan sebegini,” kata Nur Jazlan.

Pemimpin kanan Umno itu merujuk kenyataan Na­ib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berhubung peranan Umno menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Menurut Aziz, berdasarkan rekod pilihan raya umum (PRU) ke 15 lalu pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Malah kata Aziz lagi, Umno dilihat hanya menum­pang kekuatan Pakatan Harapan (PH) kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.

Kelebihan DAP, kekuatan Umno

Jika melihat sokongan pengundi, masyarakat Melayu sebenarnya tiada masalah mengundi calon DAP, tidak kira sama ada calon tersebut Melayu atau tidak.

Kita ambil contoh kerusi Parlimen Bangi yang diwakili Syahredzan Johan.

Jumlah pengundi Melayunya hampir 50 peratus. Sebelum ini, Ahli Parlimen Bangi ialah Dr Ong Kian Ming dan kini Syahredzan.

Keperluannya untuk bertanding di kerusi yang dianggap sebagai kerusi majoriti Melayu adalah selaras dengan niatnya untuk meletakkan dirinya sebagai parti pelbagai kaum.

Itu juga menerangkan percubaannya bertanding di kerusi Parlimen Jerai menerusi calonnya Zulhazmi Shariff.

Bagaimanapun, Zulhazmi gagal bersama Datuk Jamil Khir Baharom. Kerusi tersebut jatuh ke tangan Sabri Azit.

Hakikatnya sekarang, semasa kita mendekati ambang pilihan raya negeri, baik DAP mahupun Umno perlu menggunakan kesemua kelebihannya untuk mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dan pada masa sama merampas Kedah dari Pas.

Peluang DAP untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi tampak lebih mudah dicapai berbanding dengan Umno kerana kita masih memberi fokus kepada peratusan rakyat mengundi mengikut kaum walhal cabaran yang dihadapi oleh Ali, Ah Hock dan Samy adalah sama.

Cabaran untuk Umno pula ialah kehadiran banyak parti Melayu di dalam persada politik. Umno hari ini tidak mempunyai deposit simpanan tetap dalam kalangan masyarakat dan itulah yang kita lihat di Kedah semasa pilihan raya umum ke 15 yang lalu. Hari ini tiada wakil parlimen dari Umno Kedah.

Sekarang, sudah tiba masanya untuk menggembleng tenaga dan mendapatkan seberapa banyak undi daripada segenap lapisan masyarakat.

Umno mempunyai kelebihan kerana presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang dapat meneliti perkara-perkara berkaitan masyarakat Melayu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut proaktif dalam menyelesaikan permasalahan rakyat, terutamanya masyarakat Melayu. Ini berlaku meskipun parti beliau, PKR – parti pelbagai kaum.

Pilihan raya negeri membabitkan Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diadakan selepas bulan Jun.

BACA JUGA: PH tumpu rampas Kedah, kekalkan tiga negeri