Sivakumar rekodkan keterangan, bukan saksi, disyaki

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dilaporkan telah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk merekodkan keterangan.

Kehadiran menteri itu berhubung penahanan dua pembantu kanannya yang berhadapan dakwaan rasuah dalam pengambilan pekerja asing.

Seorang pembantu kepada Sivakumar memberitahu, menteri itu telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk “formaliti tertentu”.

“Dia bukan saksi mahupun suspek. Dia berada di sana sebentar dan telah meninggalkan pejabat (SPRM),” dia dipetik berkata oleh media.

Pada 13 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, setiausaha sulit kepada Sivakumar ditahan.

Penahanan pegawai kanan menteri itu dilakukan SPRM kira-kira jam 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.

Dilaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai perantara bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan SPRM berhubung dakwaan tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada badan anti pencegah rasuah itu untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu tanpa mengira parti di Pulau Pinang pada 14 April lalu.

Dalam ucapannya, pemimpin nombor satu negara itu meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan mendahului SPRM dengan menjangka sesuatu yang di luar fikiran berkenaan isu siasatan terhadap pegawai kanan kepada menteri tersebut.