Agensi kerajaan perlu agresif laksana dasar Malaysia Madani

Jabatan dan agensi kerajaan perlu agresif melakukan penambahbaikan sistem penyampaian untuk terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan agenda Malaysia Madani.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Danish Hairudin (gambar, tengah) berkata sistem penyampaian yang cekap amat diperlukan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara melalui gagasan Malaysia Madani.

“Saya melihat dasar yang diketengahkan oleh Kerajaan Perpaduan contohnya Malaysia Madani secara dasarnya berlaku di peringkat atas tetapi di peringkat bawah, ianya belum sampai sepenuhnya.

“Peranan ini perlu dimainkan lebih agresif oleh jabatan atau agensi berkaitan kerana kita lihat Malaysia Madani hanya konsisten dalam tempoh singkat, selepas itu rakyat di bawah masih terpinga-pinga dengan konsep yang cuba hendak disampaikan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Menurut beliau peranan penting itu perlu dilakukan secara bersama oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebagai pengantara antara kerajaan dan rakyat.

“RTM perlu fokus untuk mengenengahkan dasar dan apa jua program yang melibatkan Perdana Menteri dan kementerian.

“Jika dilihat sekarang, gerak kerja J-KOM masih lagi samar-samar dan tidak berada pada tahap memuaskan untuk menepis segala tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan,” katanya.

Kata Ahmad Danish, apabila terdapat isu yang diputarbelitkan atau disalah tafsir mengenai kerajaan, maka setiap pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan dengan segera.

Tambahnya, satu pelan strategik perlu dirangka berserta dengan modul Malaysia Madani bagi memastikan mesej pentadbiran negara dapat disampaikan dengan baik menerusi penyelarasan bersama antara kementerian dan agensi kerajaan yang lain.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan konsep Malaysia Madani berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani disasar untuk menjadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

BACA JUGA: J-KOM jadi perhatian ahli Dewan Rakyat

Â