Ibarat hadiah Hari Raya, ramai doktor kontrak sudah dapat jawatan tetap

Ramai pegawai perubatan kontrak dilihat berjaya mendapat lantikan tetap selepas menjalani proses temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ibarat hadiah Hari Raya, mereka termasuk ahli keluarga berkongsikan khabar menggembirakan itu.

Antaranya, pengguna Facebook Najah Asri yang memberitahu bahawa anak dan menantunya kini bukan lagi pegawai perubatan kontrak.

“Mereka berjaya menjadi doktor berjawatan tetap dengan kerajaan. Syukur. Hadiah Hari Raya yang teristimewa buat mak dan ayah,” katanya.

Khabar baik itu juga dikongsikan Dr Wan Madihan Edina yang menyifatkannya sebagai syukur yang tiada berpenghujung.

“Rasa tidak mampu, tapi Allah sentiasa jadikan diri ini mampu. Rasa tidak layak, tapi Allah hadirkan jua.

“Sesusah apa pun jalan yang akan datang, sungguh Allah tahu apa yang terbaik dan Allah adalah sebaik-baik pengatur,” kata Wan Madihan lagi.

Untuk rekod, lantikan tetap bagi menempatkan pegawai perubatan kontrak dalam 4,263 kekosongan jawatan dijangka selesai Julai ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni memaklumkan hal itu pada sidang Dewan Rakyat, 21 Februari lalu.

Jelasnya, kekosongan itu akan diisi oleh pegawai perubatan kontrak yang berjaya dalam proses temu duga dijalankan SPA.

Sehingga 31 Disember lalu, seramai 4,333 pegawai perubatan kontrak dilantik secara tetap dan 20,330 pegawai perubatan masih berstatus kontrak.

BACA JUGA Kebimbangan doktor kontrak boleh ditangani menerusi dialog, rundingan

Â