Ini perkahwinan politik bukan kahwin paksa

Perkahwinan antara Pakatan Harapan dan rakan-rakannya dalam Kerajaan Perpaduan bukannya kahwin paksa sebagaimana yang didakwa bekas perdana menteri tetapi adalah perkahwinan politik.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Haji Khalid Samad berkata, perkahwinan politik menjadi amalan sejak sekian lama demi kepentingan negara masing-masing.

“Ini bukan kahwin paksa kerana tidak ada siapa yang paksa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk bekerjasama tetapi kahwin politik demi kepentingan negara untuk kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Ia pula berlaku atas titah nasihat Yang Dipertuan Agong dan direstui oleh majlis Raja-raja Melayu,” kata Khalid.

Bagi Khalid, perkahwinan kerana politik ini menjadi amalan dalam sejarah kesultanan Melayu dan juga raja-raja di zaman dahulu untuk kestabilan dan kepentingan negara atau negeri masing-masing.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri yang berkata, Kerajaan Perpaduan berdepan dengan perpecahan kerana ia satu perkongsian kuasa berdasarkan kahwin paksa.

“Kalau begitu, bagaimana pula dengan perkahwinan antara Umno dan Pas serta Bersatu sebelum ini yang membolehkan Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

“Kahwin paksa juga ke untuk tebuk atap sebagaimana kata Presiden Pas?” tanya Khalid.

Bagi beliau, perkahwinan Umno, Pas dan Bersatu lagi teruk kerana ia dibuat untuk kepentingan pemain-pemain politik dalam ketiga-tiga parti sehingga terpaksa membesarkan kabinet untuk memenuhi keperluan masing-masing.

“Itu lagi teruk. Perkahwinan berdasarkan schemes of thing untuk kepentingan masing-masing sehingga anggota kabinet dibesarkan.

“Sedang melalui Kerajaan Perpaduan, kerjasama adalah untuk kepentingan kestabilan negara dan kabinet dikecilkan,” kata Khalid.