Lebih 40,000 permohonan KWSP FSA2 layak terima pinjaman

Lebih 80,000 permohonan diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan 40,000 daripadanya adalah permohonan yang layak dengan jumlah RM800 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, agensi itu menzahirkan penghargaan kepada MBSB Bank dan BSN yang menyokong inisiatif FSA2 dan berharap agensi perbankan lain turut sama terlibat membantu ahli KWSP.

“Setakat ini KWSP ada dua bank iaitu MBSB Bank dan BSN serta kita berharap agar bank-bank yang lain juga dapat membantu terlibat sama.

“Pinjaman ini juga mengenakan faedah yang lebih rendah iaitu 4 hingga 5 peratus sahaja berbanding kadar faedah pinjaman semasa tanpa KWSP iaitu 8 peratus,” katanya menerusi wawancara Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya percaya langkah tersebut dapat membantu ahli yang mempunyai masalah untuk mendapatkan kecairan tunai bagi menampung keperluan semasa tanpa menjejaskan wang persaraan mereka.

“Kami ingin menjelaskan bahawa fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pinjaman tersebut tanpa menjejaskan persaraan mereka.

“Ia bagi membolehkan pencarum membuat permohonan awal bagi umur 50 hingga 55 tahun dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada bank yang terlibat,” katanya lagi.

Jelas Amir, jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi itu adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan simpanan sebanyak RM3,000 hingga RM50,000.

Selain itu, badan wang simpanan persaraan tersebut turut memaklumkan ahli yang berusia 26 tahun hingga 40 tahun adalah golongan yang paling besar mengeluarkan simpanan mereka pada tempoh pandemik, sekali gus mendedahkan risiko wang persaraan mereka.

“Ketika era pandemik, kerajaan sudah meluluskan empat pengeluaran KWSP.

“Ia mengakibatkan wang simpanan pencarum yang berumur 26 tahun hingga 40 tahun hanya mampu bertahan empat tahun sahaja,” ujarnya lagi.

Susulan itu, KWSP juga berharap agar kerajaan komited untuk membantu meningkatkan kualiti melalui peningkatan gaji minimum.

“Pihak kami berpandangan langkah meningkatkan ‘living wage’ mampu meningkat kualiti dan simpanan pencarum.

“Bukan itu sahaja, ahli juga perlu mengawal gaya hidup dan mengambil inisiatif sendiri untuk menyimpan wang mereka,” jelasnya lagi.