Mana lebih mudah, tabur subsidi atau naikkan pendapatan?

Oleh Nik Hasyudeen Yusoff

Di dalam membentuk polisi awam, terdapat pilihan-pilihan polisi dengan impak yang berbeza walaupun matlamat akhirnya mungkin ke arah yang sama.

Di seluruh dunia sekarang, masalah kos sara hidup adalah isu yang perlu ditangani oleh pelbagai kerajaan. Ini terjadi kerana pada ketika pandemik Covid-19, hampir kesemua negara menyuntik dana secara langsung kepada rakyat bagi membolehkan mereka meneruskan kelansungan hidup di kala ekonomi ditutup.

Ada kerajaan yang mencetak wang dan ada yang berhutang bagi mendapatkan dana bagi tujuan ini. Ada kerajaan yang lebih “kreatif” dengan meyakinkan rakyat supaya mengeluarkan tabungan hari tua mereka untuk dibelanjakan hari ini. Bukan satu pusingan, ada beberapa pusingan.

Jadi, cabaran kita sebenarnya ialah untuk meningkatkan pendapatan kerana menbendung kos bukannya mudah dan memakan belanja juga.

Kesemua ini menyebabkan jumlah duit di dalam ekonomi melimpah dan hutang kerajaan juga memuncak. Apabila ekonomi mula dibuka, permintaan melambung kerana tidak semua perniagaan mampu hidup di sepanjang pandemik Covid-19 menyebabkan rantaian bekalan terbantut.

Teori ekonomi 101 menyatakan bahawa apabila permintaan melebihi bekalan, harga akan naik. Ini sama dengan isu tiket kapal terbang di musim perayaan.

Saya nampak, selain sektor kewangan, kebanyakan sektor ekonomi lain masih belum pulih menyebabkan kenaikan gaji pekerja tidak sempat menghambat kenaikan kos.

Hanya di dalam sektor kewangan dilaporkan kenaikan gaji yang tinggi. Semasa saya di sebuah institusi di zaman pandemik Covid-19, ada juga orang yang mendesak diberikan pelarasan gaji di kala ramai ahli masyarakat yang kehilangan pekerjaan dan yang ada kerja pun gajinya dipotong.

Kenaikan gaji mereka berjalan seperti biasa, tak dikurangkan pun. Jadi, saya tidak boleh menyokong desakan sebegitu.

Jadi, cabaran kita sebenarnya ialah untuk meningkatkan pendapatan kerana menbendung kos bukannya mudah dan memakan belanja juga.

Jika kos disubsidi, ini macam beri dengan tangan kanan dan tarik dengan tangan kiri kerana kita sebagai rakyat membayar cukai atau pun sekurang-kurangnya terpaksa menanggung pemberian perkhidmatan kerajaan yang terhad.

Jika nak halang kos dari naik, takkan kita belum belajar dari masalah kekurangan telur kerana tak ada peniaga yang mahu menjual sesuatu di bawah kos barangan mereka.

Lagi lama harga ditahan, lagi ramai peniaga yang akan cari perniagaan lain. Lama-lama masalah semakin kronik. Duit untuk subsidi pun lama-lama semakin berkurangan.

Usaha untuk menaikkan pendapatan ni bukannya senang. Ekonomi perlu lebih rancak bagi memberi keyakinan kepada orang berniaga untuk berniaga dengan lebih optimis.

Gaji 

Apabila mereka optimis, mereka akan meningkatkan pelaburan termasuk memggambil tambahan pekerja. Apabila permintaan ke atas pekerja meningkat, gaji akan naik.

Gaji juga boleh naik apabila ada peningkatan produktiviti, boleh jana pengeluaran yang lebih dengan menggunakan sumber yang sama.

Ini pun panjang cerita tetapi apabila produktivi meningkat, majikan boleh memperuntukkan bahagian yang lebih kepada pekerja yang berjaya meningkat produktiviti masing-masing.

Yang masih kerja dengan tahap yang sama secara logik akan ketinggalan bas. Saya juga nampak ada usaha sekarang untuk membantu golongan berpendapatan kecil untuk menambahkan pendapatan dengan berniaga atau bertani dengan sokongan yang tersusun agar mereka boleh berjaya.

Berniaga dan bertani risikonya tinggi ya. Tanpa perancangan dan sokongan yang tepat, untung boleh jadi rugi. Inilah agaknya mengapa kerajaan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) secara berhati-hati.

Orang yang rasional pemikirannya akan faham bahawa apabila kerajaan menanggung hutang sampai RM 1.5 trilion, ruang untuk bantuan seperti subsidi sudah semakin mengecil.

Hanya dengan membesarkan peluang melalui aktiviti ekonomi, rakyat boleh menambah pendapatan mereka.

Namun, risikonya bukannya rendah dan mereka yang terlibat kena berusaha dan melakukan sesuatu. Jika diberi pilihan mana yang lebih mudah? Subsidi atau kena berusaha untuk mendapatkan pendapatan lebih?

  • Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff merupakan bekas CEO Tabung Haji dan kini menjawat sebagai profesor adjung di Universiti Malaya.