Saya mahu Umno lebih kuat dari Pas dan Bersatu, kata Kit Siang

Veteran DAP, Lim Kit Siang menegaskan, nasihat beliau kepada Umno agar tidak terperangkap dengan usaha pengampunan Datuk Seri Najib Razak bertujuan untuk mempastikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya maka Umno akan semakin kuat.

“Saya tidak yakin Umno akan kembali kuat dengan pengampunan Najib selepas kekalahan teruk parti itu dalam dua pilihan raya yang lepas.

“Saya mahu Kerajaan Perpaduan Anwar berjaya. Ini bermakna saya mahu Umno menjadi lebih kuat dari Pas dan Bersatu,” kata bekas ahli Parlimen lebih 40 tahun itu dalam satu kenyataan beliau hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau yakin, hanya dengan mengembalikan perjuangan Umno kepada prinsip asal pembinaan negara Umno akan berjaya.

Katanya, Umno perlu kembali kepada polisi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang diterimapakai oleh tiga perdana menteri Umno sebelum ini iaitu Tunku Abdul Rahamn, Tun Razak dan Hussein Onn.

“Yang termasuk di dalamnya kebebasan kehakiman dan memberikan keutamaan kepada usaha melawan rasuah.

“Saya berharap pemimpin Umno memikirkan perkara ini,” kata beliau.

Kit Siang secara berterusan mahu Malaysia menjadi negara contoh untuk seluruh dunia.

“Mengapa Malaysia tidak boleh menjadi negara contoh kepada dunia untuk persefahaman antara etnik, agama, budaya dan peradaban, toleransi dan keharmonian atau melalui apa yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, “suarkan cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu,” kata beliau.