(VIDEO) PM bincang dengan Menteri Kewangan untuk faedah rakyat – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sepanjang lima bulan pentadbirannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan semaksimum mungkin keupayaan beliau untuk membantu golongan miskin.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri termasuk membantu golongan pesawah dan petani adalah daripada inisiatifnya sendiri.

“Apa yang dicakapkan sebelum mendapat kuasa, beliau cuba laksanakan dan cuba bantu golongan miskin semaksimum mungkin,” katanya mengulas mengenai rekod lima bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar baru-baru ini.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata kadang-kala dalam nada bergurau Perdana Menteri menyatakan ‘nanti saya bincang dengan Menteri Kewangan’ apabila pihaknya meminta sesuatu perkara berkaitan bantuan kepada rakyat untuk memastikan sama ada peruntukan mencukupi atau tidak.

Beliau berkata sepanjang lima bulan selepas menjadi Perdana Menteri, pendekatan mengunakan jawatan nombor satu dan Menteri Kewangan tidak digunakan untuk kepentingan peribadi termasuk mencari sumber kewangan untuk rakan dan ahli keluarga.

“Saya lihat penekanannya dia gunakan jawatan PM akan berbincang dengan Menteri Kewangan adalah untuk kepentingan dan faedah rakyat,” ujarnya.

EDITOR: HELMI MOHD FOAD | EDITOR VIDEO: MOHD NUR AZWAN NUSI | VISUAL: KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN

BACA JUGA: Mohamad Sabu yakin pentadbiran PM Anwar kekal 5 tahun