Cadangan Anwar tubuh AMF tepat, kurangkan bergantung Dolar AS – ABIM
Cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya negara Asia menubuhkan Tabung Kewangan Asia (AMF) merupakan tindakan yang tepat sebagai mekanisme mengurangkan kebergantungan kepada Dolar Amerika Syarikat (AS).
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata Perdana Menteri telah mempelopori pelaburan dengan negara luar berasaskan mata wang negara sendiri dan tidak hanya dengan Dolar AS.
Jelasnya perkara itu termasuk pelaburan dengan China untuk merintis penggunaan Ringgit dan Renminbi sekali gus menunjukkan keseriusan Perdana Menteri dalam isu besar untuk menubuhkan AMF.
“Selain itu, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) sendiri didominasi AS. Untuk undian veto Asia (kecuali Jepun) adalah 21.85 peratus sedangkan AS sendiri memiliki lebih 16.5 peratus.
“Untuk ubah kuota undian ini, ia memerlukan 85 peratus sokongan, maka jelas kini AS miliki kuasa veto yang kukuh. Dalam masa sama, acuan IMF sering menawarkan “ubat” yang akhirnya menjadikan penyakit ekonomi sesebuah negara lebih teruk,” katanya.
Berbeza pula dengan AMF kata Faisal, ia dapat menawarkan alternatif munasabah kepada negara-negara bermasalah dan sama sekali tidak sama dengan acuan ekonomi neoliberal.
“Lebih penting, strategi PM dibuat bukan atas kapasiti Malaysia sendiri tetapi dengan mendapatkan ‘partner’ dari negara Asia dan ia tidak secara drastik tetapi bertahap yang memerlukan rundingan dan perbincangan lanjut,” ujarnya.
Cadangan menubuhkan AMF pernah dikemukakan Anwar sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi kurang sambutan kerana faktor kewangan Asia yang tidak sekuat hari ini seperti China dan Jepun.
Tujuan utama AMF adalah untuk mengurangkan kebergantungan warga Asia dengan Dolar AS kerana transasksi IMF berlegar dengan penggunaan mata wang negara kuasa besar itu.
Kesan kebergantungan dengan Dolar AS boleh dilihat apabila negara berdepan krisis ekonomi bila mana AS mengukuhkan Dolar, ujar Faisal
“Seperti contoh ketika Covid-19, berlaku gangguan dalam aktiviti ekonomi dan membawa kepada kenaikan harga barang dan seterusnya inflasi. US Federal Reserve menaikkan kadar faedah sebagai strategi mereka menangani inflasi.
“Kesannya berlaku aliran keluar duit apabila pelabur menerusi bond ambil keputusan untuk melabur melalui bond AS kerana faedah yang lebih tinggi. Ini memberi tekanan kepada Ringgit,” ujarnya.
Februari lalu Anwar yang juga Menteri Kewangan mencadangkan AMF dikaji semula bagi menghadapi krisis ekonomi.
Menurut Perdana Menteri, rantau ini akan mendapat keuntungan daripada AMF yang pernah dicadangkan oleh Jepun pada 1997, tetapi tidak pernah dilaksanakan.
“Kita boleh bekerjasama dengan orang luar tetapi kita harus mempunyai kekuatan domestik, serantau dan Asia, tidak semestinya untuk bersaing tetapi mempunyai zon penampan (bagi menghadapi krisis ekonomi).
“Bagi mereka yang mempunyai pengalaman menanganinya, ia akan sangat membantu kerana setiap kali terdapat tanda-tanda masalah, kita segera mengadakan sesi dan mula saling memberi peringatan antara satu sama lain,” katanya ketika memberi ucaptama dalam Pertemuan Perniagaan dengan Pemimpin Industri – The Future of ASEAN di Bangkok.
Anwar juga mencadangkan agar AMF disemak untuk memasukkan negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
BACA JUGA: Pakar ekonomi sambut baik cadangan penubuhan Tabung Kewangan Asia