Insentif Aidilfitri penjawat awam, guru KAFA Selangor diagih minggu ini – MB

Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan mengagihkan bayaran insentif Aidilfitri kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor pada minggu ini.

Menteri Besar berkata bayaran tersebut turut melibatkan guru Kelas Fardu Ain dan Agama (KAFA), pemimpin masyarakat dan penggerak masjid.

“Insya-Allah minggu ini, Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor untuk penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkerja di Selangor, guru KAFA, pemimpin masyarakat serta penggerak masjid akan diagihkan.

“Semoga menambah kemeriahan sambutan Syawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Amirudin mengumumkan pemberian Insentif Kita Selangor sebanyak satu bulan gaji atau minimun RM1,000 kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di negeri tersebut.

Katanya pembayaran itu turut melibatkan guru KAFA.

Jelasnya Insentif Kita Selangor turut melibatkan pemimpin masyarakat yang bakal menerima bayaran satu bulan elaun.

Insentif sebanyak RM500 juga akan diberikan kepada penggerak masjid merangkumi nazir, imam rawatib, siak dan bilal

“Kita turut memanjangkan kepada guru-guru rakyat yang berjumlah 1,600 lebih sekolah rendah agama dan sekolah agama Islam KAFA di seluruh Selangor,” ujarnya.

Kata Amirudin buat julung-julung kali penjawat awam yang berkhidmat di Selangor dengan gaji pokok RM3,000 dan ke bawah akan menerima insentif khas Aidilfitri one off berjumlah RM200

“Ada beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang berfungsi dan bertugas untuk tugas bukan orientasi keuntungan, mereka semua akan diberikan duit Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 yang dibiayai syarikat induk masing-masing,” katanya.

Bayaran akan diberikan selewat-lewatnya pada 21 April ini.

BACA JUGA: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri mulai 15 April di seluruh Selangor – Exco