Kedah tidak pandang serius masalah air ketika Aidilfitri

Kerajaan negeri Kedah dilihat tidak memandang serius isu masalah bekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat terutama apabila menjelang Aidilfitri.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu bersikap lebih tegas dan serius terhadap rungutan rakyat berkaitan krisis air di negeri itu dan bukannya terus mempertahankan kelemahan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Menurut beliau apa yang lebih meresahkan rakyat Kedah ialah apabila berulangnya krisis terputusnya bekalan air menjelang lebaran seperti berlaku pada tahun sebelum ini.

“Masalah air di Kedah merupakan isu yang berlanjutan dan sekarang semakin teruk apabila terdapat kelemahan kewangan pada operator air iaitu SADA.

“Dalam keadaan sekarang, isu utama adalah SADA tidak mampu memberikan perkhidmatan untuk membekalkan air buat rakyat di negeri ini,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Ismail berkata meskipun sambutan Aidilfitri sudah dijangka menyebabkan kadar penggunaan air meningkat sehingga 30 peratus sehari, perkara tersebut tetap tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

“Antara beberapa kawasan yang paling teruk terjejas adalah sekitar Tanjung Dawai, Merbok dan Kuala Kedah yang selama ini sering mengalami gangguan bekalan sehingga memerlukan empat hingga lima hari untuk dapatkan bekalan air.

Tambah Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, kerajaan negeri serta SADA harus bersikap adil dalam pengagihan bantuan bekalan air kepada semua pengguna yang terjejas kerana terdapat kediaman yang langsung tidak menerimanya.

Semalam terdapat laporan mengatakan bahawa hampir satu juta penduduk Kedah dijangka mengalami krisis bekalan air bersih menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata krisis bekalan air yang berlaku hampir setiap kali musim perayaan ini boleh dianggap sebagai berpunca daripada kegagalan negeri merancang sistem bekalan air.

BACA JUGA: Hasil hutan simpan bukan idea ekonomi ‘The Greater Kedah’