Kelulusan PBT dipercepatkan
Prosedur OSC 3.0 Plus ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan ketimbang 19 agensi sebelum ini dan tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari.
Dengan itu tempoh kelulusan pembangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dipercepatkan.
OSC 3.0 Plus adalah sistem dibangunkan bertujuan membantu pihak pemohon utama atau pemohon untuk mengemukakan permohonan pelan pemajuan secara atas talian, bayaran melalui atas talian (PBTPay) dan membolehkan agensi teknikal mengulas permohonan secara maya serta seterusnya keputusan diperoleh melalui sistem ini.
Ini adalah di antara perkara yang dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke -41 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sekaligus memudahkan urusan perniagaan,” kata beliau di dalam satu hantaran di Facebook.
“Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara,” tambah beliau.
Mesyuarat tersebut turut memutuskan pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah sebagai langkah penyelesaian banjir kilat.
Aspek pertanian khususnya penternakan turut diberikan perhatian sewajarnya menerusi Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam. Ia sebahagian dari usaha meningkatkan produktiviti pertanian.
BACA JUGA: Sanusi hadir Mesyuarat Fizikal Negara, bukti Kerajaan Perpaduan tidak sisih Kedah
Â