Kerajaan Perpaduan tambah baik pemberian, sokongan kepada negeri

Kerajaan Perpaduan telah menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri untuk tahun ini demi melaksanakan pembangunan negara yang lebih seimbang.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri.

Menurut Anwar, melalui keputusan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.

“Ini termasuk semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP.

“Seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan kerajaan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) turut dinaikkan kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada tahun lalu sebagai galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.

“Pendekatan ini dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan sekali gus melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan,” katanya.

Turut dicapai pada mesyuarat berkenaan ialah pelanjutan pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 melibatkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta selain sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri berada pada tahap yang terbaik dan hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan negeri bagi melaksana pembangunan negara yang lebih seimbang selaras dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya lagi.

BACA JUGA Anwar pertimbang tambah peruntukan khas Sabah