KPM bantu 48 keluarga, 10 guru pulang ke Sabah dan Sarawak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membantu seramai 10 orang guru serta 48 orang ahli keluarga untuk tiket penerbangan pulang ke Sabah dan Sarawak bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Usaha tersebut hasil kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan syarikat penerbangan Air Asia.
Menerusi satu kenyataan hari ini, KPM mengambil maklum perihal keperluan tiket penerbangan guru yang ingin pulang ke kepulauan Borneo itu sempena Syawal ini.
“KPM menerima maklumat seramai 10 orang guru yang terdiri daripada pelbagai kaum bersama-sama 48 orang ahli keluarga mereka mengalami kesukaran mendapatkan tiket penerbangan pulang berhari raya ke negeri Sabah dan Sarawak.
“KPM cakna kesulitan tersebut dan mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan tiket penerbangan guru-guru bersama-sama ahli keluarga yang terlibat,” katanya.
Kesemua penumpang terbabit, menurut kenyataan itu, telah memulakan penerbangan pada 17 April lalu dengan menggunakan Waran Perjalanan Udara Awam yang layak diterima.
Jelasnya, semua penjawat awam yang layak menerima Waran Perjalanan Udara Awam masih menerima manfaat seumpamanya.
Sehubungan itu, tegas KPM, hebahan palsu berkenaan tiket penerbangan percuma pada musim perayaan seperti yang diuar-uarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial adalah berniat untuk mengelirukan dan sedang dalam siasatan pihak polis.
Menurutnya, KPM sentiasa komited untuk terus memastikan kesejahteraan dan kebajikan para guru sentiasa dipelihara.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi jaminan bahawa pihak kerajaan komited untuk meningkatkan kapasiti penerbangan menjelang musim perayaan.
Katanya, peningkatan kekerapan penerbangan itu mampu mengurangkan harga purata sekali gus menggalakkan rakyat pulang ke kampung halaman.
Â