Kuota internet tambahan percuma hingga 31 Mei

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pengguna pakej prabayar akan menikmati kuota internet tambahan percuma dan pulangan tunai sempena Aidilfitri bagi tempoh tertentu hingga 31 Mei ini.

Menurutnya, inisiatif itu disediakan secara kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat adalah Maxis yang menyediakan bonus 100 gigabit (GB) menerusi pelan Internet HotlinkMU, dengan tertakluk pada tempoh sah laku pas dibeli dan ia sah hingga 15 Mei ini.

CelcomDigi pula menyediakan pelan video HD 555GB RM5.00 untuk melayari video dan tempoh sah laku selama empat hari, iaitu juga hingga 15 Mei ini.

Sementara itu, Unifi Mobile memberikan pulangan tunai RM5 dengan pelan Internet prabayar 4G/5G, manakala RM35 data 4G dan 5G tanpa had dan panggilan tanpa had selama 30 hari yang sah hingga 5 Mei.

Umobile pula menyediakan bonus 10GB dengan pelan Pakej Perpaduan dan ia sah hingga 31 Mei 2023 manaka YES memberikan bonus 44GB data dengan tempoh sah laku selama tujuh hari, dan ia juga sah hingga 15 Mei.

“Kemudahan yang disediakan tertakluk kepada terma dan syarat syarikat penyedia perkhidmatan.

“Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata usaha kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat adalah selari dengan konsep Rahmah dalam meringankan kos sara hidup serta sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengguna pakej prabayar sempena musim perayaan ini,” tambahnya lagi.