PH, BN mudah pertahan tiga negeri jika kekal kerjasama baik

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi mempertahankan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dengan mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) jika kedua-dua gabungan politik itu boleh bekerjasama dengan baik.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat pertikaian lidah antara pemimpin DAP dan Umno tidak membawa kesan baik untuk berdepan PRN kerana ia menggambarkan tiada kebersamaan antara pemimpin kedua-dua parti tersebut.

”Saya lihat yang membuat kenyataan itu misalnya Lim Kit Siang, adalah individu yang sudah tiada dalam kepimpinan DAP. Beliau bercakap atas dasar pandangan peribadinya.

”Jadi, saya fikir pemimpin Umno tidak perlu ambil serius, demikian juga kenyataan daripada Dr Aziz Bari yang mengatakan Umno tiada pengaruh. Bagi saya, itu salah sebab sebenarnya Umno ini parti yang kuat.

”Misalnya, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Negeri Sembilan, Umno menang banyak kerusi manakala di sesetengah kerusi Parlimen di dalamnya ada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dulunya disandang PH, juga berjaya dimenangi oleh BN,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas tentang bagaimana PH dan BN wajar menggunakan kelebihan yang dimiliki bukannya berkelahi untuk mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang selain merampas Kedah daripada Pas.

Mazlan berkata BN juga dilihat mempunyai kekuatan di kawasan luar bandar seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Justeru itu, katanya kenyataan bahawa Umno sudah tiada lagi pengaruh adalah tidak benar dan ia adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.

Berdasarkan pengamatan pihaknya, beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha merapatkan hubungan antara parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau.

”Baru-baru ini, kita dengar ada kemajuan dalam pembahagian kerusi. Misalnya semalam kenyataan daripada Datuk Dr Asyraf Wajdi (Setiausaha Agung Umno) mengatakan bahawa 80 peratus kerusi selesai dibincangkan (pembahagian kerusi Umno dan PH).

”Bagi saya, perkembangan itu sebenarnya sesuatu yang amat baik kerana jika Umno-BN bergabung dengan PH, mereka boleh menang banyak kerusi.

”Ini kerana sekarang kita lihat Perikatan Nasional (PN) pun agak lemah sedikit selepas didakwa dengan kes-kes rasuah membabitkan pemimpin parti berkenaan. Di situ kita nampak seperti sokongan rakyat sudah ‘mula lari’ kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mendakwa ‘kahwin paksa’ antara Umno dan DAP tidak akan berjaya sama ada di peringkat kepimpinan tertinggi atau akar umbi.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata beliau sudah mula melihat keretakan kerjasama itu selepas wujud serangan secara terbuka antara pemimpin-pemimpin parti kerajaan ketika ini.

Ahli Parlimen Bera itu menambah, kerjasama antara bekas parti politik yang bertelagah tidak akan kekal lama dan akhirnya pasti ada keretakan dan akan berlaku perpecahan.

Bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga secara terbuka mengkritik DAP dan ia juga mendapat reaksi daripada Kit Siang.

Pada 15 April lalu, Nur Jazlan mendakwa hubungan Umno dan DAP dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menyukarkan parti itu untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

Beberapa pemimpin Umno dan DAP yang berbalas kenyataan berhubung keputusan Umno memohon ihsan pengampunan diraja bagi membebaskan Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

Kit Siang memberi amaran Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja dan beliau melihat masalah dihadapi kerajaan pimpinan Anwar lebih kepada bersifat dalaman berbanding luaran.

Membalas kenyataan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula mendakwa PH khususnya DAP takut terhadap usaha dibuat Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi Najib.

Dakwanya, kenyataan Kit Siang itu menunjukkan mereka sebenarnya takut jika Umno bertambah kuat melalui gabungan Najib dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BACA JUGA Kerjasama terjalin antara PH, BN tanda kemenangan awal PRN di Selangor