PM Anwar umum tol percuma 4 hari, cuti tambahan Jumaat atau Isnin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama 4 hari kepada semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Tol Rahmah Percuma akan bermula pada 19 April (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan pada 24 April (Isnin). Ini bermaksud tol percuma akan diberikan untuk perjalanan pulang selepas Aidilfitri.
Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma itu bakal melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan di seluruh negara, kata Anwar. Sebelum ini, hanya tol-tol pilihan sahaja diberikan tol percuma oleh kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri.
“Ikhtiar ini akan dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung masing-masing serta memudahkan perjalanan balik ke kampung,” katanya dalam sidang media khas Perdana Menteri hari ini.
Setakat ini belum jelas sama ada Aidilfitri akan disambut pada 21 atau 22 April kerana ia tertakluk kepada pengumuman penyimpan mohor besar raja-raja selepas melihat anak bulan Syawal.
Atas sebab itu, Anwar mengumumkan cuti kelepasan am pada hari Isnin jika hari raya Aidilfiti jatuh pada hari Jumaat, manakala cuti pada Jumaat jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu.
“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat 21 April, maka kerajaan akan menetapkan hari Isnin 24 April sebagai hari kelepasan am berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Walaubagaimanapun, Andai kata tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu 22 April, maka kerajaan meletakkan hari Jumaat 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri bolehlah mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut ordinan kelepasan am masing-masing,” katanya.
Baca juga: Ismail Sabri takut Jana Wibawa 2, dakwa Pengarah Komunikasi Umno