Satu isu asas dari pembangkang untuk pilihan raya negeri
Pembangkang sudah mula menyebar suatu jalan cerita atau dalam bahasa sekarang disebut naratif mengenai Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi pilihan raya negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Apa yang dimaksudkan dengan pembangkang ialah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan.
Dengan kejayaan besar yang dicapai oleh Pas dalam pilihan raya umum lalu, hinggakan mereka sering mendakwa sebagai parti tunggal terbesar meraih kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, maka PN yakin dapat mengulangi kejayaan luar biasa itu dalam PRN ini.
Mereka mengharap apa yang dinamakan “gelombang hijau” bukan saja akan berulang tetapi bertambah kukuh dengan menekankan aspek-aspek negatif yang disebut sebagai “kegagalan” Kerajaan Perpaduan.
Dengan kempen ini, mereka menjangka pengundi-pengundi Pakatan Harapan pada PRU lalu akan berasa kecewa, dan bagi menunjukkan protes, akan beralih kepada PN.
Justeru mereka yakin bahawa PN akan dapat mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan mudah. Bukan itu saja, mereka bercita-cita untuk memperoleh Selangor, bahkan juga Pulau Pinang.
Perkiraan mereka adalah sokongan padu daripada orang Melayu. Kata kuncinya ialah padu. Lebihan daripada itu adalah undi protes daripada orang Cina yang tidak berpuas hati dengan PH supaya mereka mengundi calon Gerakan.
Maka untuk mendapatkan sokongan padu dari orang Melayu, asas kempen mereka adalah sentimen perkauman dan keagamaan. Ia boleh membawa kepada unsur-unsur hasutan yang bukan saja salah dari segi undang-undang tetapi juga etika dan akhlak beragama.
Secara rasmi, ahli-ahli politik pembangkang tidak akan bercakap dan menulis perkara berkaitan sentimen kaum dan agama kerana ia terdedah kepada tindakan undang-undang.
Tetapi melihat hantaran-hantaran di media sosial, dari Tik Tok hinggalah Facebook akan muncul serangan-serangan kepada Kerajaan Perpaduan melalui kata-kata sinis yang dapat difahami. Apabila begitu banyak dihamburkan, pihak berkuasa pun sukar untuk mengenakan tindakan undang-undang bagi menghalangnya.
Apabila disebut “naratif”, ia bukan bermaksud “jalan cerita” saja. Tetapi ia juga bermakna cerita yang tidak semestinya benar, atau merupakan spekulasi kerana tidak mempunyai maklumat cukup, atau yang lebih penting lagi cerita yang diputar belit hinggakan ia menjadi fitnah dan pembohongan atas tujuan tertentu, selalunya untuk kepentingan politik.
Maka kata kunci dalam naratif ini ialah “kafir harbi “. Perkataan ini digunakan bukan dalam konteks sejarah Islam pada zaman kekhalifahan Umayah dan Abasiah.
Ia kategori orang bukan Islam. Mereka diistilah kafir kerana tidak menerima ajaran Islam apabila tentera Islam masuk dan menakluki wilayah-wilayah baharu. Maka orang bukan Islam yang menerima pemerintahan Islam dan tidak menentang atau memberontak dipanggil “kafir zimmi”.
Mereka menjadi warga kekhalifahan dan perlu membayar jizyah. Oleh kerana mereka bukan Islam, maka mereka tidak diwajibkan membayar zakat.
Satu lagi kategori kafir ialah kafir harbi. Mereka ini nenentang pemerintahan kekhalifahan secara terang dan aktif, baik di dalam wilayah mahupun di perbatasan dengan terlibat dengan perang melawan tentera Islam. Tentulah kafir harbi perlu ditentang.
Tetapi membawa konsep “kafir zimmi” dan “kafir harbi” dalam konteks moden bukan saja tidak tepat dan tidak wajar tetapi lebih buruk lagi ia merupakan suatu fitnah. Melabel seseorang atau sekumpulan orang sebagai “kafir harbi” adalah suatu pembohongan yang nemberi kesan buruk pada masyarakat dan negara. Ia menimbulkan sentimen kebencian tidak tentu pasal.
Maka dalam kempen mereka, naratifnya ialah kafir zimmi adalah orang bukan Islam yang boleh menerima kepimpinan Pas atau menjadi sekutunya. Sementara kafir harbi adalah mereka yang menolak kepimpinan atau enggan bersekutu dengan Pas. Orang Islam boleh memberikan sokongan kepada kafir zimmi tetapi wajib menolak kafir harbi.
Apabila istilah-istllah ini diterjemahkan kepada politik kepartian Malaysia, maka Gerakan menjadi “kafir zimmi” kerana ia anggota PN. Sementara “kafir harbi” jatuh kepada DAP kerana ia menentang Pas. MCA bagaimana pula?
Ketika Pas menubuhkan Muafakat Nasional dengan Umno, yang turut membawa sekali keseluruhan Barisan Nasional yang juga terdiri daripada MCA dan MIC, maka kedua-dua parti itu ialah “kafir zimmi.”
Tetapi apabila BN berada dakam Kerajaan Perpaduan yang ditentang oleh PN, maka sudah tentu MCA dan MIC fianggap sebagai “kafir harbi” kerana bersekutu dengan DAP melalui PH.
Apabila perkara ini dihujahkan kepada orang ramai yang tidak teliti tentang maksud sebenar “kafir zimmi” dan “kafir harbi”, mereka mudah terpengaruh. Ini kerana apa yang mereks difahamkan ialah Islam lawan kafir. Orang kafir yang tidak mahu menerima kepimpinan orang Islam adalah orang kafir harbi yang perlu dilawan. Tidakkah ia mendatangkan kekeliruan yang berbahaya?.
Ini kerana pada zaman ini; sudah tidak ada kekhalifahan yang mana seseorang khalifah mempunyai kuasa mutlak. Seperti mana zaman empayar dan maharaja sudah berlalu di dunia Barat, maka di dunia Islam, zaman kekhalifahan juga sudah tinggal menjadi sejarah.
Seluruh dunua dengan kesepakatan sejagar menubuhkan negara-negara moden yang berasaskan kepada kewarganegaraan penduduknya. Warga negara pula terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Umumnya akan terdapat kaum dominan tetapi kaum minoriti mempunyai hak dan tanggungjjawab serupa sebagai warganegara.
Antara hak semua warga negara adalah untuk menjadi pengundi atau menjadi calon bagi mewakili rakyat dalam parlimen yang memerintah negara secara demokratik. Istilah “kafir zimmi” dan “kafir harbi” sudah tidak sesuai untuk digunakan
Orang bukan Islam pun tidak dipanggil kafir. Mereka tidak dituntut membayar jizyah. Semua warga negara perlu membayar cukai. Orang Islam diwajibkan membayar zajat tetapi itu diberikan pengecualian dalam cukai pendapatan..
Justeru tidak timbul sama ada ahli-ahli bukan Islam dalam DAP, MCA, Gerakan dan MIC adalah “kafir zimmi” atau “kafir harbi ” Kesemua mereka adalah warga negara setaraf dengan orang Islam negara ini.
Apabila melihat senario politik sekarang, orang bukan Islam adalah minoriti di negara ini. Sebagai parti politik mereka sentiasa menerima kepimpinan parti politik Melayu yang dominan dalam gabungan yang mereka sertai.
Umpamanya dalam PH, DAP menerima kepimpinan Presiden PKR. Dalam BN, MCA dan MIC meneruna kepimpinan Presiden Umno. Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, DAP, MCA dan MIC menerina kepimpinan Presiden PKR.
Begitu juga dengan Gerakan dalam PN yang menerima kepimpinan Bersatu dan Pas. Maka tidak timbil soal “kafir zimmi” dan “kafir harbi.”
Melabelkan golongan tertentu sebagai “kafir harbi” adalah suatu fitnah untuk menimbulkan rasa kebencian dan ketakutan terhadap sesama warga negara yang sebenarnya adalah bertujuan untuk menarik rakyat supaya tidak mengundi parti-parti Kerajaan Perpaduan dalam PRN ini.
BACA JUGA: Melawan iklim fitnah politik nasional
Â