Anwar jamin kerjasama erat, Pahang terima peruntukan MARRIS RM400 juta

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri Pahang akan terus diperkukuh demi kelangsungan serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

Perdana Menteri berkata bagi membuktikan kesungguhan itu, lebih RM400 juta daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) diperuntukkan kepada Pahang bagi memastikan jalan negeri berada dalam keadaan baik.

“Sebahagian daripada peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala turapan jalan Persekutuan yang meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, juga akan dikhususkan untuk negeri Pahang,” kata beliau dalam kenyataaan selepas menyampaikan amanah kepada penjawat awam di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan semalam.

Majlis itu disertai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan Exco kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan.

BN Pahang menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH di negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-15 selepas langkah sama dilakukan di Perak susulan kerjasama dijalinkan kedua-dua gabungan parti politik tersebut di peringkat Persekutuan.

Anwar (tengah) bergambar beramai-ramai selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan pada 18 April 2023. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri. Hadir sama Wan Rosdy (depan, tujuh dari kanan) dan Mohd Zuki (enam dari kiri)

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan itu dapat dilakukan kerana hasil negara melonjak selepas ‘orang besar’ mula membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jelasnya kerajaan turut memberi kelonggaran kepada kerajaan Pahang bagi menggunakan peruntukan MARRIS untuk membaik pulih kemudahan awam yang rosak akibat banjir seperti membeli jambatan bailey.

“Ini mengambil kira Pahang antara negeri yang sentiasa dilanda bencana alam itu setiap tahun, yang akan menyebabkan pelbagai kerosakan pada struktur awam,” katanya.

BACA JUGA: Pahang-Selangor rintis kerjasama pengurusan kualiti air mentah, perhutanan