Jangan tiru pentadbiran PN, tidak serius turunkan harga barang

Perikatan Nasional (PN) ketika menjadi kerajaan akan diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman berkata pentadbiran PN telah gagal membuktikan kemampuan untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat serta kenaikan harga barang setelah hampir 33 bulan mentadbir.

Ekoran kegagalan itu, menurut beliau, Kerajaan Perpaduan dinasihatkan untuk tidak mengikuti jejak langkah PN itu malah lebih berusaha untuk memfokuskan perhatian rakyat kepada isu-isu berkaitan harga barang.

“Dulu kita boleh lihat harga barangan tidak turun di bawah kerajaan PN kerana ketidakcekapan kerajaan itu sendiri.

“Namun sekarang tiada yang mustahil agar Kerajaan Perpaduan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menurunkan harga barang,” katanya kepada Harapan Daily ketika di wawancara, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan PN menuduh Kerajaan Perpaduan tidak berbuat apa-apa adalah tidak adil kerana segala usaha sedang dilakukan untuk menurunkan harga barang walaupun pada kadar nilai yang rendah.

“Ramai rakyat berharap sekiranya Kerajaan Perpaduan dapat turunkan harga walaupun hanya sekadar bernilai satu, dua atau tiga sen sekalipun, janji harga barangan tidak naik dan paling kurang kekal pada harganya.

“Sementara kita tunggu apa yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dan keberkesanannya, diharapkan agar harga barangan dan makanan tidak terus melonjak,” katanya.

Ahmad berkata, dengan segala usaha yang telah dilakukan oleh sesebuah pentadbiran, rakyat harus menilai kerajaan manakah yang mampu melaksanakan urus tadbir dengan lebih baik untuk mengatasi isu rakyat.

Tambahnya, sekiranya isu harga barangan ini dapat diatasi atau diturunkan, beliau yakin bahawa Pakatan Harapan akan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Pada 16 Mac lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh memaklumkan bahawa Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bertanggungjawab merangka inisiatif dan strategi untuk menangani inflasi dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan usaha berterusan oleh kerajaan serta pada masa sama bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan kuasa beli dalam kalangan rakyat.

Katanya, perkembangan positif dapat dilihat berdasarkan indeks harga pengguna yang menunjukkan peningkatan inflasi yang lebih rendah tahun ini berbanding pada tahun lepas.

BACA JUGA Pakatan Harapan terjejas jika gagal tangani elemen 3R – ADUN Sabak

Â