Kes bantah harga barang naik: Hasbie dilepas dari tuduhan

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melepaskan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda daripada pertuduhan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) berhubung demonstrasi aman turunkan harga barang tahun lalu.

Menurut peguam mewakili Hasbie, Faiz Fadzil, atas representasi dihantar pada 17 Mac lalu, pihak pendakwa raya telah menarik balik pertuduhan terhadap Senator Hasbie atas dakwaan kesalahan pelanggaran seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman.

“Alhamdulillah, Hasbie Muda dilepaskan daripada pertuduhan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman. Hasbie dilepaskan (DNAA) oleh Majistret Kuala Lumpur.

“Keputusan ini adalah satu permulaan positif kerajaan Madani yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun dan menyatakan pandangan seperti mana dinyatakan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan keputusan ini, perjuangan kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat dilihat benar-benar telus kerana perhimpunan aman itu dianggap tidak lagi menyalahi undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pada Julai tahun lalu, Hasbie dan beberapa wakil politik serta ratusan mahasiswa berhimpun di hadapan pusat beli belah Sogo bagi membantah kenaikan harga barang yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

Penganjur bagi program itu iaitu “Turun Malaysia”, menuntut menteri Perikatan Nasional memotong gaji, melaksanakan pendekatan subsidi yang dikekalkan, bantuan tunai lebih besar kepada golongan memerlukan dan mahu kerajaan bertindak mengawal harga barang, selain memastikan bekalan makanan cukup bagi semua rakyat.

Mengikut kertas pertuduhan pada Ogos 2022, Hasbie gagal memberitahu polis Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan berkenaan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang dan hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, jam 2 dan 3.30 petang, pada 1, 9 serta 23 Julai lalu.

Baca juga: Jualan Agro MADANI cara kerajaan kurangkan beban kos sara hidup rakyat