Pakej Bantuan Rahmah, Prihatin Rakyat Melaka sokong dasar Kerajaan Pusat
Empat inisiatif di bawah Pakej Bantuan Rahmah dan Prihatin Rakyat Negeri Melaka membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM16.4 juta, dilihat selari dengan dasar Rahmah di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab menyifatkan, inisiatif diumumkan kerajaan negeri itu berpotensi meringankan beban masyarakat yang berdepan dengan kos sara hidup dan harga barang meningkat.
Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh usaha dilakukan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof yang dilihat sesuai dengan dasar di peringkat persekutuan.
“Ini melambangkan sokongan dan juga dasar yang sama, seiring dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, malah kita yakin program dicadangkan itu mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita juga yakin sedikit sebanyak empat program yang dicadang seterusnya akan dilaksanakan kerajaan negeri itu, mampu meringankan beban rakyat negeri Melaka yang terbeban dengan kos sara hidup dan harga barang meningkat,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Ketua AMANAH Hang Tuah Jaya itu mengulas demikian ketika ditanya mengenai pengumuman oleh kerajaan negeri berhubung empat inisiatif pakej bantuan Rahmah, prihatin rakyat Melaka.
Semalam, Ab Rauf mengumumkan inisiatif baharu berkenaan bertujuan mengurangkan bebanan dan kos sara hidup rakyat terutama anak watan Melaka dan golongan B40, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan di negeri itu.
Katanya, inisiatif pertama adalah parkir percuma kenderaan di bawah pentadbiran empat pihak berkuasa tempatan di negeri itu selama tujuh hari bermula 1 Syawal ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM519,000.
“Inisiatif kedua adalah pemotongan fi lesen sebanyak 50 peratus melibatkan sebanyak 6,223 pelesen iaitu penjaja kecil bermula Jun hingga akhir Disember ini dengan implikasi kewangan berjumlah RM548,000.
“Bagi inisiatif ketiga pula adalah, menghapuskan caj perkhidmatan atau denda lewat bayar cukai pintu bagi mereka yang dapat menjelaskan keseluruhan bayaran cukai pintu semasa dan denda lewat melibatkan kategori kediaman, komersial dan industri untuk tahun 2023 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM14.12 juta.
“Inisiatif keempat pula ialah melupuskan semua kompaun kesalahan parkir kereta dan kompaun penjaja kecil dalam tempoh 1 hingga 30 Mac sempena pelantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka membabitkan anggaran implikasi kewangan bernilai RM1.18 juta,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pimpinan Datuk Seri Salahuddin Ayub telah memperkenalkan beberapa inisiatif Rahmah bermula awal tahun ini bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
Antaranya adalah Payung Rahmah; Menu Rahmah; Bazar Ramadan Rahmah dan terbaharu kerajaan turut bercadang memperkenalkan Insurans Rahmah bagi membolehkan rakyat menikmati kadar perlindungan yang lebih berpatutan.
BACA JUGA Lotus’s ikut jejak Mydin sertai program Rahmah, ringankan tekanan B40
Â