Skim Simen Rahmah: Raja Kamarul pulangkan paku buah keras
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memulangkan paku buah keras kepada pembangkang yang mempertikaikan penawaran satu juta tan metrik di bawah inisiatif Skim Simen Rahmah.
“Pembangkang seharusnya tidak terlalu leka bermain dengan emosi dan berpendapat apa yang kerajaan lakukan semua tidak betul,” kata beliau ketika diminta respon terhadap kritikan yang dilemparkan oleh warga maya dan pembangkang berkenaan skim tersebut.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Inisiatif Skim Simen Rahmah kepada pemaju perumahan bagi membangunkan kategori rumah berharga RM300,000.
Di bawah skim tersebut satu juta tan metrik simen pada harga RM290 berbanding harga pasaran RM410 amat membantu pemaju perumahan untuk membina rumah mampu milik yang berpatutan.
Ia hasil kerjasama kerajaan dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta bakal menawarkan harga simen pada kadar berpatutan untuk pemaju rumah mampu milik melibatkan kos sebanyak RM120 juta.
Raja Kamarul yang juga seorang arkitek bertauliah menambah bahawa tawaran di bawah skim ini akan berperanan sebagai penggalak kepada pemaju perumahan di dalam kategori RM300,000 dan ke bawah.
“Simen ialah komponen asas bahan binaan yang paling banyak digunakan untuk membuat projek pembinaan. Penggunaan simen yang tinggi ini perlu dibuat agar bangunan yang dibina itu kukuh.
“Oleh itu, besar kebaikannya jika skim bantuan itu dimanfaat kepada pemaju yang terlibat,” katanya.
“Skim bantuan ini mampu menolong pemaju kecil untuk memiliki bahan binaan dengan harga berpatutan. Ia secara tidak langsung merancakkan orang ramai untuk memiliki rumah serta memberi kelangsungan ekonomi negara yang lebih mampan,” jelasnya lagi.
Aktivis pembangkang, Tun Faisal Abdul Aziz mengkritik inisiatif tersebut di dalam media sosial dengan mendakwa bahawa kerajaan tidak memahami rakyat.
Hantaran Facebooknya turut memaparkan gambar kartunis dengan perkataan berikut:“makan simen madanilah raya ini.”
BACA JUGA: Boleh terus bekerja, bayar tol dan hidangkanlah ‘rendang simen’