Umat Islam digalak pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri – Jakim

Umat Islam digalakkan memakai pelitup muka ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau pada 1 Syawal nanti sebagai langkah berwaspada ketika berada di tempat yang mempunyai ramai orang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata prosedur operasi standard (SOP) fasa peralihan ke endemik yang sedang berkuat kuasa ketika ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka jika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

”Setelah merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pemakaian pelitup muka adalah digalakkan.

”Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa, Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri jika mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hakimah, perkara itu diputuskan atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar setelah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah mengenai SOP pemakaian pelitup muka ketika menunaikan solat Aidilfitri.

BACA JUGA: 1 Syawal: Sultan Selangor nasihatkan bertenang, tunggu keputusan pihak berkuasa

Â