Dakwaan SPRM hanya sasar pembangkang meleset, buktinya siasatan ke atas Sivakumar
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Sumber Manusia V Sivakumar menepis dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) bahawa pihak berkuasa hanya menyiasat kes rasuah pembangkang, kata seorang pemimpin Amanah.
Menurut Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda siasatan berterusan terhadap pemimpin DAP itu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) – BN menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Ini menunjukkan perdana menteri (Anwar Ibrahim) sememangnya memberi kebebasan kepada SPRM untuk siasat sesiapa sahaja termasuk pemimpin kerajaan.
“Jadi tuduhan hanya siasat pemimpin pembangkang jelas tidak betul kerana dia (Sivakumar) juga adalah pemimpin kanan dalam DAP,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Bagaimanapun Hasbie yang juga seorang senator tetap berharap Sivakumar tidak mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dihadapinya.
SPRM telah memanggil Sivakumar dua kali berhubung siasatan berhubung kes kelulusan pekerja asing.
Minggu lalu SPRM juga menahan tiga orang – dua daripadanya adalah pegawai kanan menteri dan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak.
Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan selepas perintah reman mereka tamat, lapor The Star.
Anwar menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk Sivakumar bercuti sementara menunggu siasatan kes itu kerana tiada pertuduhan dikenakan terhadap menteri itu.
BACA JUGA: Sivakumar rekodkan keterangan, bukan saksi, disyaki