Michelle Yeoh bawa trofi Oscar jumpa Perdana Menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Tan Sri Michelle Yeoh, pelakon Malaysia pertama yang berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik di acara Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023).

Perdana Menteri mengucapkan maju jaya kepada pelakon itu dan berharap beliau terus memperoleh kejayaan pada masa akan datang.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata Michelle menghimbau kisah suka dan duka perjalanan hidupnya terutamanya untuk mencapai tingkat kejayaannya hari ini.

“Beliau turut menitip pesan bahawa kejayaan gemilang anugerah Oscar itu cukup bermakna bagi dirinya, keluarga dan juga rakyat Malaysia seluruhnya.

“Pencapaiannya itu berjaya mengangkat nama negara di persada antarabangsa. Saya ucap semoga maju jaya dan terus beroleh kejayaan!” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu dalam perkongsiannya di Instagram Story, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak itu kerana membawa trofi yang dimenanginya menerusi filem Everything Everywhere All At Once pulang ke Malaysia.

Dua hari lepas, Michelle meraikan kejayaan di pentas berprestij itu bersama peminat di pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur.

Beliau turut diraikan pada majlis istimewa buat kali pertama di Malaysia yang diberi nama, Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet dengan dilengkapi hamparan karpet merah terpanjang, lapor Astro Awani.

Minggu lalu, beliau dilaporkan kembali ke Malaysia lebih awal dan menunjukkan kepada ibunya, Datin Janet Yeoh, 84, trofi Oscar dimenanginya itu.

Dia turut membawa trofi itu ke pusara bapanya, mendiang Datuk Yeoh Kian Teik.

Michelle pulang ke tanah air bagi menyambut ulang tahun Janet yang sudah menjadi kepulangan wajib saban tahun.

Pada edisi ke-95 Oscar, Michelle Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Michelle mula mencipta nama menerusi filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an.

BACA JUGA: PM, Wan Azizah sebak tonton sedutan filem ‘Anwar Ibrahim: Untold Story’