Negeri Sembilan sambut baik pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri
Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik sekiranya jemaah di negeri itu mahu memakai pelitup muka bagi solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri menggalakkan perkara tersebut kerana dilihat sebagai keprihatinan jemaah untuk menjaga kesihatan masing-masing.
“Kepada sesiapa yang ingin menggunakan pelitup muka ataupun sejadah saya amat alu-alukan. Ketika saya bersolat subuh tadi di masjid saya dapati ramai warga emas yang menggunakan pelitup muka dan membawa sejadah masing-masing.
“Saya rasa ini keprihatinan yang baik dalam kalangan mereka untuk menjaga kesihatan dan harus galakkan tetapi tidak diwajibkan di Negeri Sembilan,” kata Exco Agama itu memetik laporan Negeri Kita.
Semalam Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan.
Jelas beliau, memandangkan negara masih berada dalam fasa peralihan ke endemik, prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.
BACA JUGA: Umat Islam digalak pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri – Jakim