Penerapan Madani beri makna Aidilfitri buat rakyat Malaysia

Konsep Madani yang diterapkan oleh Kerajaan Perpaduan telah memberi makna yang sangat berharga pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, Madani membawa erti maju daripada segi pemikiran, kerohanian dan hidup bermasyarakat.

Menurutnya, Madani juga memberi makna usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemai nilai-nilai murni kekeluargaan dan pembinaan masyarakat.

“Sepanjang negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, jelas dilihat nilai-nilai ini diamalkan dalam pentadbiran.

“Bermula dengan reformasi pentadbiran, kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan menu dan harga Rahmah serta berusaha memastikan harga barang terkawal selepas naik mendadak semasa di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan.

Razeef berkata, kelmarin, Perdana Menteri telah mengumumkan pengecualian bayaran tol bagi semua jenis kenderaan selama empat hari di kesemua 33 lebuhraya dan perkara ini berbeza dengan pentadbiran sebelum ini.

Katanya, selain itu, kerajaan juga memberikan cuti tambahan sehari, kadar khas bayaran saman sebanyak RM50 bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya serta diskaun khas buat pengusaha menu Rahmah dan banyak lagi pengumuman lain.

“Namun, satu pengumuman yang sangat menyentuh hati adalah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi memberi peluang kepada penghuni penjara merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

“Berbeza dengan pentadbiran sebelum ini, kerajaan hari ini memberikan serta menambah bantuan khas Aidilfitri bagi meringankan beban rakyat di semua peringkat,” katanya.

Jelasnya, antara bantuan baharu yang diberi adalah bantuan untuk pesawah padi sebanyak RM400, nelayan RM500 serta pekebun kecil getah sebanyak RM1,000.

Manakala, katanya, bantuan yang dinaikkan adalah bantuan khas Aidilfitri Penjawat Awam sebanyak RM700 yang sebelum ini hanya RM500 serta bantuan khas Aidilfitri untuk pesara awam sebanyak RM350 yang sebelum ini hanya RM250.

“Pentadbiran kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menjadi sebuah kerajaan yang terbaik pernah mentadbir dan menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan serta membersihkan pentadbiran negara daripada amalan rasuah dan salahguna kuasa.

“Saya yakin rakyat sangat terkesan dengan keprihatinan pemimpin hari ini dengan memaknai slogan Malaysia Madani, negara berada di landasan tepat menuju sebuah negara sejahtera,” ujarnya.

BACA JUGA RM4.5 juta hasil Jualan Khas Syawal Madani