Selangor terbit drama ‘Selalu Ada’, temui penonton Syawal ini

Kerajaan negeri Selangor menerbitkan drama berjudul ‘Selalu Ada’ yang mengisahkan cabaran tiga sahabat untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Pelakon terkenal, Sophia Albarakbah menganggap drama yang dijadual menemui penonton jam 9 malam pada 3 Mei di saluran TV2 itu sarat mesej kekeluargaan dan persahabatan.

Beliau menyifatkan karya yang turut memaparkan kepentingan bantuan sesebuah kerajaan kepada orang ramai wajar ditonton seisi keluarga dalam sambutan Syawal.

“Ada mesej tentang persahabatan, kekeluargaan dan macam mana sesebuah negeri membantu rakyatnya.

“Ceritanya mudah tetapi beri mesej berguna,” katanya memetik laporan Selangorkini.

Antara pelakon lain yang turut membintangi drama tersebut ialah Erra Fazira, Datuk Jalaluddin Hassan, Syafie Naswip, Zarul Iman, Kazar dan Ropie.

Drama 45 minit arahan Che Mie dan penulis skrip oleh Amin Masyur tersebut juga menyelitkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan pentadbiran negeri kepada segenap lapisan masyarakat berpendapatan rendah.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan bayi, kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula daripada program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang bermula daripada tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.

Pada kali ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah turut membuat penampilan khas dalam drama itu nanti.