Selepas Sanusi kalah saman, ‘Mamu’ pula terima notis tuntutan daripada Mahfuz

Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar mengeluarkan notis tuntutan ke atas seorang individu dikenali sebagai Mamu dan kepada pentadbir atau pemilik akaun Tiktok @sembangkedaikopi yang telah menerbitkan dan menuturkan kata-kata fitnah terhadapnya.

Peguamnya Noorazmir Zakaria dari firma Akram Hizri Azad & Azmir berkata satu notis tuntutan pada 18 April lalu telah dikeluarkan kepada individu tersebut supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada anak guamnya melalui akaun Tiktok @sembangkedaikopi tersebut.

“Ganti rugi yang akan ditentukan oleh anak guam kami dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis di mana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan anakguam kami meneruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorazmir berkata individu tersebut turut telah menerbitkan dan memaparkan semula hantaran Facebook Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah bertarikh 30 Julai 2019 yang telah pun diputuskan sebagai fitnah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pemilik akaun Tiktok @sembangkedaikopi itu itu antara lainnya menyebut tentang isu premis judi di Pokok Sena ketika Mahfuz menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Sebelum ini Mahfuz menang dalam kes saman fitnah terhadap Sanusi dan Menteri Besar Kedah itu membayar RM120,000 kepada beliau.

Dalam hantaran video terbaru Mahfuz, beliau menyatakan pihaknya masih belum menerima wang ganti rugi tersebut.

BACA JUGA: Sanusi diarah bayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz

Â